[VIDEO] ‘Karen’ mengamuk, hempas komputer kat ‘airport’ sebab tak dapat 'refund'


  • Benua
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar seorang wanita mengamuk di sebuah kaunter dekat lapangan terbang Mexico selepas tempahan tiket penerbangannya terbatal.

KECOH sebuah lapangan terbang antarabangsa di Mexico apabila seorang wanita bertindak menghancurkan beberapa barangan elektrik serta komputer di kaunter pertanyaan lapangan tersebut pada Julai lalu.

Suspek, Maria Guadalupe, 56, dipercayai berpelakuan sedemikian susulan syarikat penerbangan di situ enggan mengembalikan wangnya selepas tempahan tiketnya terbatal.

Bengang dengan situasi itu, wanita berkenaan bertindak menghempas beberapa skrin komputer di kaunter terbabit selain menggesa agar wangnya dikembalikan.

Dirakamkan oleh salah seorang pengunjung di lapangan tersebut, insiden itu mula tular di laman sosial sejak Selasa.

Sebaik wanita itu beredar, polis bantuan di lapangan itu pantas mengambil tindakan dan menahan individu terbabit.

Laporan polis mengesahkan, wanita berkenaan telah mengakibatkan kerosakan pada kaunter syarikat penerbangan di lapangan terbang tersebut.

Sebanyak empat buah komputer dan empat pengimbas kod dilaporkan rosak dalam kejadian itu dengan pihak syarikat penerbangan berkenaan juga turut mendakwa wanita itu sengaja mencetuskan kekecohan dan kemusnahan.

Belum ada sebarang maklumat mengenai hukuman terhadap si pelaku setakat ini dan difahamkan siasatan masih dijalankan oleh pihak polis.

Karen merupakan istilah yang digunakan dalam kalangan netizen Malaysia bagi menggambarkan seorang wanita yang mempunyai rasa hak yang tinggi atau sentiasa betul. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram