[VIDEO] Siapa salah? Lori melambung hempap kereta tepi jalan angkara langgar lampu isyarat di Puchong


  • Tular
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar video kemalangan luar biasa yang berlaku di Bandar Puteri, Puchong, Petaling, Selangor pada Selasa.

ENTAH siapa yang salah, ku tak tahu.

Tular satu video memaparkan kejadian kemalangan pelik membabitkan sebuah lori tiga tan dan sebuah kereta Honda City berwarna putih di persimpangan lampu isyarat di Bandar Puteri, Puchong, Petaling, Selangor pada Selasa.

Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam), tidak dapat dipastikan siapa sebenarnya yang melanggar lampu isyarat berkenaan dan insiden itu mula tular pada Rabu.

Rentetan kemalangan itu, lori terbabit kemudiannya melambung lalu menghempap kereta jenis Toyota Camry yang parkir berhampiran lokasi kejadian.

Ia juga menyebabkan Honda City berwarna gelap yang diletakkan bersebelahan Toyota Camry itu mengalami kerosakan.

Berdasarkan video rakaman kejadian, nasib pemandu lori dan pemandu Honda City putih yang terlebih dulu bertembung itu juga belum dapat diketahui.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi.

"Siasatan awal dijalankan mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lebuh Puteri ketika sebuah lori jenis Inokom dipandu seorang lelaki dari arah Lebuh Puteri (IOI Galeri) menghala ke KPMC Puchong.

"Lori tersebut melanggar sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai keluar simpang secara mengejut mengakibatkan ia terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar dua lagi yang diletakkan berhampiran," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan kesemua mangsa yang terlibat.

"Pemandu lori serta Honda City tersebut masing-masing tidak mengalami kecederaan dalam kejadian.

"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 166/59) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan, Mohd Remy Nordin di talian 019-5282256. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram