SATU kemalangan berlaku membabitkan sebuah kenderaan dan segerombolan lembu yang keluar secara tiba-tiba untuk melintas jalan.
Insiden tersebut tular sejak Khamis menerusi perkongsian yang dibuat di group Facebook DashCam Owners Malaysia.
Berdasarkan klip berdurasi 10 saat dirakam daripada kamera papan pemuka kenderaan terbabit, kereta tersebut tidak sempat untuk mengelak daripada melanggar haiwan tersebut yang keluar dengan mengejut.
Difahamkan, dua ekor lembu yang terbabit dalam kemalangan tersebut mati manakala pemandu dan penumpang kenderaan terbabit terselamat tanpa kecederaan serius.
Tarikh dan masa dipaparkan dalam video terbabit menunjukkan insiden itu dirakam berlaku pada Rabu sekitar pukul 4.50 petang.
Bagaimanapun, lokasi kejadian tidak dimaklumkan.
Dalam pada itu, rata-rata warganet berpendapat kejadian tersebut berlaku kerana terdapat pihak bertindak menghalau lembu tersebut sehingga menyebabkan haiwan berkenaan berlari dengan pantas ke jalan secara tiba-tiba.
"Biasanya lembu takkan lari kalau tak dihalau. Mesti ada orang dekat belakang," kata Wan Mohd Azfar.
"Adik aku pernah kena macam ni, tuan lembu halau, adik aku brek tekan habis dah, nak elak lori tawakal je. Mujur kereta berhenti betul-betul dekat lembu tu. Tuan lembu cepat-cepat jalan," kongsi Ren Mdm.
"Naya ke orang. Ni pemilik lembu mesti tak mengaku lembu dia jadi punca kemalangan ni," tulis Mirz.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram