[VIDEO] Pemandu lori tanah putus kaki akibat rempuh belakang treler di Kuantan


  • 112
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Tangkap layar kemalangan melibatkan pemandu lori tanah dengan empat kenderaan lain di Jalan Pintasan Kuantan, Semambu, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

SEORANG lelaki putus kedua-dua belah kaki selepas lori muatan tanah dipandunya melanggar belakang treler tanpa muatan dan sebuah kereta sebelum terbalik di Jalan Pintasan Kuantan dekat Semambu, Kuantan, Pahang.

Memetik laporan portal tempatan, kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 12.15 tengah hari, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, insiden ngeri tersebut melibatkan empat kenderaan, dengan mangsa yang parah berusia 55 tahun beralamat di Sungai Isap Perdana, Kuantan.

"Seorang lelaki yang memandu kereta Perodua Viva berusia 29 tahun mengalami luka di beberapa bahagian badan manakala pemandu treler dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika keempat-empat kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Semambu menghala ke Gambang.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori tanah dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang treler dan Perodua Viva sebelum terbalik melintang jalan," katanya.

WhatsApp Image 2023-08-05 at 19.28.37

Pemandu lori tanah tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang treler dan Perodua Viva.

Wan Mohd Zahari berkata, treler yang dilanggar lori mangsa menggelongsor sebelum melanggar Perodua Axia yang bergerak perlahan di hadapannya.

"Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dirawat di wad kecemasan (zon merah).

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram