[VIDEO] Penunggang maut motosikal terbakar rempuh kereta ketika U-turn di Jeram


  • Tular
  • Ahad, 16 Jul 2023

Tangkap layar kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan kenderaan lain di Jeram, Selangor pada Sabtu.

SEORANG penunggang motosikal dipercayai maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri pada Sabtu.

Difahamkan kejadian yang berlaku dekat Jeram, Selangor itu turut tular di media sosial selepas seorang individu memuat naik rakaman video papan pemuka kenderaan (dashcam) kejadian melalui akaun TikTok @m.aidil97.

Hal ini kerana, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian sebuah kenderaan lain yang membuat pusingan 'U' sehingga menyebabkan mangsa tidak dapat mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut.

Menurut pengguna akaun TikTok berkenaan, mangsa yang merupakan rakannya itu meninggal dunia selepas merempuh kereta pemandu yang tidak bertanggungjawab itu.

"Sama-sama kita baca, sedekahkan Al-fatihah buat arwah kawan saya" tulisnya.

Dalam video berdurasi seminit itu, difahamkan mangsa berada di jalan yang lurus sebelum melanggar bahagian tepi kenderaan berkenaan.

Impak daripada perlanggaran itu juga menyebabkan berlakunya kebakaran melibatkan motosikal mangsa dan kenderaan berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna warga maya mengecam tindakan pemandu terbabit.

"Bahaya kereta main 'U-turn' seperti itu, kawasan itu pun gelap," kata Nurul Baitul Azlin.

Seorang lagi pengguna TikTok, @Arman111 mendakwa dia berada di tempat kejadian.

"Aku lalu tempat ini...dekat Jeram selepas kemalangan itu, terbakar habis motosikal. Nampak ambulans dan orang ramai berkumpul di situ.

"Semua orang kata salah kereta, kesian abang motosikal itu. Al-fatihah untuk arwah," katanya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga mangsa mahupun pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram