[VIDEO] Buat bunyi bising punca satu geng motor kena tibai di Sabah


  • 112
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu dengan penduduk kampung di Kampung Sangkir, Kota Belud, Sabah pada Isnin.

TULAR satu video memaparkan pergaduhan dipercayai melibatkan sekumpulan individu dengan penduduk kampung hingga menyebabkan laluan jalan raya menjadi sesak pada Isnin.

Kejadian yang berlaku di Kampung Sangkir, Kota Belud, Sabah itu sempat dirakam penduduk kampung dan dimuat naik di laman Facebook pada Isnin.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara dua kumpulan di kawasan tersebut.

"Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud telah menghantar kereta peronda MPV ke lokasi dan mendapati perselisihan faham telah pun dileraikan.

"Siasatan awal mendapati, sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal dipercayai telah membuat bunyi bising dan menyebabkan perselisihan faham dengan penduduk kampung," katanya pada Selasa.

Ujarnya, pihak polis memandang serius kejadian itu dan akan membuat pemantauan berterusan di lokasi tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tambahnya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil untuk membuat laporan di Balai Polis Kota Belud.

"Pihak polis memandang serius kejadian ini dan akan membuat pemantauan berterusan di lokasi tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Shahrudin turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat setempat.

"Ia juga dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang masih dijalankan oleh pihak polis," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram