[VIDEO] Polis kesan 5 lelaki gaduh guna rotan sampai jalan sesak di Perak


  • 112
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki terlibat dalam pergaduhan di Tanjung Rambutan, Khamis lalu.

POLIS kini sedang mengesan sekumpulan individu terbabit dalam pergaduhan atas jalan raya di Batu 8, Jalan Tanjung Rambutan-Tambun, Ulu Kinta, Perak pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan dijalankan selepas video kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp pada Jumaat.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian sekitar pukul 5.30 petang Khamis itu melibatkan lima lelaki warga tempatan.

"Pihak polis sedang menyiasat punca kejadian dan mengesan individu-individu yang terlibat dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh dengan menggunakan senjata, berikutan paparan video tular berdurasi 16 saat itu menunjukkan lima lelaki menggunakan senjata iaitu kayu rotan dalam pergaduhan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram