Kecoh konon 'provoke' ultras Selangor, Zarif Irfan perjelas situasi sebenar


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Tangkap layar rakaman tular kekecohan membabitkan Zarif Irfan selepas perlawanan menentang Selangor FC pada Ahad. — TikTok

NAMA penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin yang diturunkan bagi menggantikan pemain pinjaman, Izham Tarmizi dalam saingan Liga Super menentang Selangor FC pada Ahad dijulang sebagai antara hero Tok Gajah.

Ketangkasan yang dipamerkan Zarif Irfan membolehkan rekod pertahanan Sri Pahang FC terus cemerlang meskipun Selangor FC hadir dengan jentera serangan yang tajam.

Persembahannya antara lain membolehkan Sri Pahang memungut tiga mata selepas menang 1-0 kepada pasukan Gergasi Merah dalam aksi yang dilangsungkan di Stadium Darul Makmur.

Disebalik pujian melambung kepada penjaga gol Sri Pahang itu, terdapat insiden kekecohan yang berlaku selepas tamat perlawanan membabitkan Zarif Irfan dan penyokong Selangor serta kem kejurulatihan Selangor FC.

Dalam video yang tular di media sosial TikTok itu, Zarif Irfan dilihat cuba pergi ke arah ultras Selangor yang berpakaian merah namun terpaksa dihalang oleh pemain-pemain Pahang.

Video yang dikongsikan oleh pemilik akaun Tiktok, Yumikaisara itu juga memperlihatkan pegawai keselamatan terpaksa meluru ke arah penyokong tegar Selangor tersebut untuk mententeramkan keadaan sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Insiden itu tidak berakhir di situ kerana selepas itu, timbul pula sedikit pergeseran di antara para pemain kedua-dua pasukan di bangku simpanan. Zarif terpaksa ditenangkan rakan-rakan sepasukannya.

Mengulas mengenai insiden itu, Zarif Irfan berkata, dia hanya mahu bersalaman dengan barisan kejurulatihan pasukan Selangor, namun perkara itu disalah erti individu tertentu.

photo1688986869

Tangkap layar penjelasan Zarif Irfan di Instagram Story. — Instagram

"Jangan salah faham... saya nak pergi jumpa coach Selangor untuk salam bukan nak buat hal tapi disalah cerita kan oleh individu tertentu.

"Yang gaduh orang lain, orang lain pula disalahkan," katanya menerusi hantaran di Instagram Story pada Isnin.

Sri Pahang kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 34 mata berkongsi mata yang sama dengan pasukan Selangor di tangga kedua.

Sri Pahang akan bertemu Sabah FC pada 15 Julai ini di Stadium Likas manakala Selangor pula bakal melayan kunjungan Penang FC pada tarikh sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram