PERBUATAN dua lelaki yang meletuskan pergaduhan di Taman Danau Desa, Kuala Lumpur mengundang perhatian ramai susulan masing-masing bertindak ganas dan tidak rasional pada Rabu.
Kekecohan itu dikatakan terjadi sebaik seorang lelaki berbaju gelap dan berseluar pendek yang bersenjatakan besi mula melakukan serangan terhadap seorang lagi lelaki berkemeja cerah di kawasan tersebut.
Ia menyebabkan lelaki berkemeja cerah itu terpaksa menggunakan kon jalan sebagai perisai sebelum diserang bertubi-tubi lalu terjatuh.
Dirakamkan oleh seorang wanita yang menyaksikan kejadian itu, si perakam turut diserang oleh si pelaku sehingga menyebabkan rakaman tersebut terhenti apabila telefon pintar wanita itu terhempas ke atas jalan.
Meskipun disaksikan beberapa lagi individu, namun pergaduhan itu berterusan tanpa cuba dihentikan mana-mana pihak.
Meraih lebih 8,000 jumlah tontonan di Twitter, insiden itu mula tular sejak Khamis dan dikecam warganet.
"Nak gaduh tak tentu pasal macam gangster besar, yang peliknya orang ramai dekat situ tengok je tak membantu langsung," kata Syamil Tarmidzi.
"Pakai kon gaya macam nak balas tapi mengelak, orang macam ini tak payah lawan kita buat laporan polis je terus biar dia ke dalam," ujar Tyra Hamaid.
"Ni kes kongsi gelap ke, nampak macam ada geng dia dekat situ, tengok je tak buat apa-apa," kata Mbzubaiir.
Namun, punca kejadian tidak dapat dipastikan buat masa sekarang sementara pihak polis juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hal terbabit setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram