
POLIS menerima laporan berhubung insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan individu termasuk pengasas produk kecantikan dipercayai berlaku di hadapan premis di daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Rakaman kejadian itu dikongsikan pengguna laman Twitter pada Isnin, sebelum ia menjadi tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di hadapan sebuah restoran di Taman Seri Mutiara pada pukul 12.30 tengah malam.
"Pengadu seorang wanita warga tempatan berumur 30-an, semasa berada di restoran tersebut, telah datang seorang lelaki berusia lewat 20-an bersama beberapa individu lain.
"Lelaki berkenaan dikatakan membuat rakaman melalui telefon bimbit dan memaksa wanita itu mengaku telah berhutang sejumlah wang dengannya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Cheng San, pertengkaran mulut dan tolak menolak sesama mereka telah berlaku akibat daripada perbuatan tersebut.
Ujarnya, kedua-dua pihak kemudiannya telah tampil membuat laporan polis.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram