TULAR di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki bergocoh sesama sendiri di sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang, Selangor pada Rabu.
Difahamkan kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 10 malam Selasa itu melibatkan dua kumpulan lelaki dipercayai berkumpul di kedai berkenaan sebelum berlaku pergaduhan.
Namun tidak dinyatakan punca sebenar pergaduhan tersebut tercetus.
Menerusi video berdurasi kurang seminit itu memaparkan kedua-dua kumpulan lelaki tersebut bergaduh dan bertindak secara agresif sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Malah, ada yang diantara mereka menggunakan kerusi yang diperbuat daripada besi untuk dijadikan senjata.
Turut kelihatan beberapa pengunjung yang tidak terlibat dengan rusuhan itu beredar daripada lokasi tersebut kerana risau turut cedera dengan insiden terbabit.
Sementara itu, memetik laporan media tempatan, menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca daripada sindiran di media sosial mengenai rancangan menggabungkan dua kumpulan kelab motosikal.
"Mereka dikatakan tidak puas hati lalu mengadakan pertemuan di restoran itu sebelum berlakunya pergaduhan.
"Setakat ini, polis sudah menahan lapan individu berusia antara 19 hingga 33 tahun yang disyaki terbabit pergaduhan," katanya.
Katanya, polis kini sedang giat mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram