[VIDEO] Polis kesan lelaki mabuk bergaduh dalam kawasan 'parking' di Stulang Laut


  • 112
  • Ahad, 23 Jul 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki bergaduh di kawasan sebuah pangsapuri di Stulang Laut baru-baru ini.

TULAR beberapa video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai mabuk bergaduh di tempat letak kereta Stulang Laut, Johor Baharu, Johor baru-baru ini.

Melalui video yang dimuat naik di aplikasi Telegram Viral Update pada Sabtu itu memaparkan sekumpulan lelaki membuat kacau dengan mengganggu ketenteraman awam di kawasan parkir di sebuah pangsapuri.

"Awal pagi dah buat kacau, pelik aku tengok mereka ini, matahari baru keluar mereka dah mabuk siap bertumbuk. Baik tidur dari memekak buat bising," katanya.

Difahamkan, kejadian itu dirakam oleh salah seorang penduduk di lokasi kejadian.

Melalui video tersebut, kelihatan beberapa orang lelaki sedang bergaduh mulut dan kejadian menjadi lebih tegang selepas beberapa orang daripada mereka mula bertindak agresif dan saling tumbuk-menumbuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, polis kini sedang mengesan seorang lelaki lelaki kerana terbabit dalam kes pergaduhan membabitkan sekumpulan warga tempatan, di tempat letak kereta Stulang laut.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 4 petang pada 21 Julai lalu.

"Video pergaduhan tular di media sosial sejak Sabtu dan mangsa tampil membuat laporan polis tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, mangsa yang berumur 48 tahun mendakwa dipukul lelaki yang tidak dikenali menyebabkan beliau luka kecil di bahagian muka, kepala dan kedua lututnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 kanun keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram