Warga emas maut selepas bertumbuk di lobi hotel di Genting Highlands


  • 112
  • Khamis, 27 Jul 2023

Berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di lobi, sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta.

SEORANG lelaki warga emas warga tempatan ditemukan maut dengan kesan cedera di mulut, mata dan muka, di tempat letak kereta sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang selepas dirakam bergaduh di lobi hotel.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa yang berusia 67 tahun, ditemukan pada 5.39 petang, Rabu, dalam keadaan terlentang.

"Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di lobi, sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan sekali lagi bergaduh.

"Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati antara mangsa dan suspek, disebabkan bilik hotel,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Zaiham berkata, suspek yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau, kini direman selama tujuh hari bermula Khamis, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di 09-2222222 atau balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram