Polis tahan lelaki mabuk disyaki bunuh bapa akibat rimas dengar carutan orang tua


  • 112
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Suspek dibawa ke Mahkamah Seremban dan reman dibenarkan selama lima hari bermula Sabtu sehingga 9 Ogos nanti. — Gambar hiasan

POLIS menahan seorang lelaki disyaki membunuh bapanya dalam satu pergaduhan di hadapan rumah di Taman D’Ambang Kota, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan pada pukul 1.20 pagi, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima maklumat kejadian berkenaan daripada suspek lelaki berusia 26 tahun itu sendiri pada 12.45 tengah malam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sebelum kejadian, mangsa yang berada dalam keadaan mabuk telah bergaduh dan memukul suspek.

"Dia memaklumkan bapanya (mangsa) tidak sedarkan diri di hadapan rumah. Punca kejadian dipercayai suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Aidi Sham berkata, Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok telah ke lokasi kejadian dan mengesahkan kematian mangsa berusia 49 tahun itu pada 1.15 minit pagi.

"Mangsa berumur 49 tahun adalah bapa kepada suspek yang berumur 26 tahun dan semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Seremban dan reman dibenarkan selama lima hari bermula hari ini (Sabtu) sehingga 9 Ogos nanti.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram