[VIDEO] 'Ini baru betul gomo Kelate gomo', perlawanan bola liga kampung dicemari pergaduhan


  • Tular
  • Selasa, 25 Jul 2023

Tangkap layar yang memaparkan pergaduhan di antara pemain bola sepak liga kampung di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini.

PERLAWANAN bola sepak tidak kira di peringkat apa pun pasti tidak terlepas daripada dicemari insiden provokasi sama ada daripada penyokong atau pemain pasukan itu sendiri.

Terbaharu, rakaman video memaparkan pergaduhan di antara dua pasukan bola sepak, tular di media sosial pada Selasa.

Kejadian itu menjadi perhatian umum apabila video yang dimuat naik oleh seorang individu, Badrul Hisyam di Facebook, Bola Kelantan Terkini pada Selasa memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai pemain dari kedua-dua pasukan sedang bergaduh ketika aksi perlawanan bola sepak.

Menurut Badrul, kejadian itu berlaku di salah sebuah lokasi di Tanah Merah, Kelantan yang membabitkan satu perlawanan liga bola sepak.

Dalam video berdurasi seminit lebih itu, kelihatan kedua-dua pemain daripada pasukan terbabit melakukan kekasaran terhadap satu sama lain.

Lebih mengejutkan, seorang individu dipercayai pemain turut dibelasah ramai-ramai oleh sekumpulan lelaki yang mengenakan jersi bola di padang tersebut.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengutuk keras tindakan kedua-dua pasukan yang dikatakan tidak matang dan tiada semangat kesukanan.

Fazley berkata, sekumpulan lelaki yang bergaduh ketika perlawanan itu ibarat anak kecil yang tidak berdisiplin.

"Kurang berdisiplin dan tiada didikan. Memalukan orang Kelantan. Entah apa yang mereka fikir. Dah kuat sangat ke tu?," katanya.

"Ini baru betul Kelate gomo Kelate," kata Ehsham MH pula.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Sabriy Jen meninggalkan komen sinis selepas melihat video tersebut.

"Piala kambing atau lembu ini? Ke Maggi sampai nak bergaduh?," katanya.

Setakat berita ini ditulis, tidak dinyatakan tarikh sebenar dan punca kejadian itu berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram