Undi awal : MetMalaysia ramal ribut petir, hujan di 6 negeri 


  • Politik
  • Isnin, 07 Ogos 2023

MetMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan bakal melanda di beberapa kawasan negeri yang terlibat dalam hari pengundian awal PRN pada Selasa.

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dan hujan, bakal melanda di beberapa kawasan negeri yang terlibat dalam hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Selasa.

MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Selangor dan Negeri Sembilan bakal mengalami keadaan ribut petir di beberapa tempat dan di kawasan pantai pada pagi, Selasa.

Selain ribut petir, hujan turut diramalkan melanda di beberapa tempat di kawasan pedalaman bagi dua negeri berkenaan.

Sementara itu, di Pulau Pinang dan Kedah, MetMalaysia menjangkakan keadaan cuaca hujan di satu, dua tempat di kawasan pantai, selain petang diramalkan ribut petir di satu dua tempat dan cuaca baik pada malam.

Bagi Terengganu dan Kelantan pula, masing-masing menunjukkan corak cuaca yang sama dengan dijangkakan cuaca dalam keadaan baik pada pagi, selain ribut petir di satu dua tempat pada petang dan malam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos, manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram