SPR tetapkan 9 September hari mengundi serentak PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram


  • Primer
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Abdul Ghani (tengah) ketika sidang akhbar selepas mesyuarat khas di Putrajaya pada Khamis. — Facebook/SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor akan dilaksanakan serentak pada 9 September depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan, penamaan calon dan pengundian awal masing-masing bakal diadakan pada 26 Ogos dan 5 September.

Beliau berkata, seramai 166,653 pemilih terlibat dalam PRK Parlimen Pulai, manakala sejumlah 40,379 pemilih bagi DUN Simpang Jeram dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.

"Bagi menjalankan proses PRK Parlimen Pulai, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu lima penolong pegawai pengurus.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

"Manakala bagi menjalankan proses PRK DUN Simpang Jeram, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu tiga penolong pegawai pengurus. SPR juga akan menubuhkan satu PP-KPR," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas di Putrajaya pada Khamis.

Ujar beliau, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi kedua-dua PRK akan dibuka bermula 3 Ogos 2023.

"Permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (petugas pilihan raya, anggota/pegawai SPR dan petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan Kategori 1C (agensi/organisasi) dilaksanakan secara dalam talian," jelasnya.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor akan dilaksanakan serentak pada 9 September depan.

Abdul Ghani memberitahu, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi PRK Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Tambah beliau, bagi PRK DUN Simpang Jeram, Johor pula, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, akan digunakan sebagai PPC dan PPRU.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi bagi PRK Parlimen Pulai adalah sebanyak 49 dengan 297 tempat mengundi atau saluran.

"Seramai 2,692 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai dan sebanyak 47 pusat mengundi biasa yang mengandungi 294 tempat mengundi/saluran dan dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tiga tempat mengundi/saluran awal akan digunakan," ujarnya.

Menurutnya, PRK Parlimen Pulai dianggarkan menggunakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta manakala PRK DUN Simpang Jeram berjumlah RM1.5 juta.

Katanya lagi, daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Pulai, Johor adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemaskini sehingga 23 Julai 2023.

"Jumlah DPPR bagi PRK Parlimen Pulai seramai 166,653 pemilih yang terdiri daripada 165,700 pengundi biasa, polis (927) dan pengundi tidak hadir luar negara (26).

"Manakala DPPR bagi PRK Dewan Negeri Simpang Jeram pula mengandungi seramai 40,379 pemilih yang terdiri daripada 40,373 pengundi biasa dan enam pengundi tidak hadir luar negara," jelasnya.

Untuk rekod, kekosongan bagi kedua-dua kerusi berkenaan adalah susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddian Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 23 Julai lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram