Dulu bintang bola sepak kini calon YB, ketahui portfolio 2 legenda Kedah ceburi politik


  • Podium
  • Khamis, 27 Jul 2023

Baddrol Bakhtiar antara legenda bola sepak Kedah yang mengambil langkah menceburi bidang politik. — Facebook/Kedah FC

KEPUTUSAN bintang bola sepak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar yang memilih untuk bersara nyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat penyokong setia The Rhinos.

Turut dirasai oleh segelintir peminat di Kedah, bekas kapten Sang Kenari itu juga dikhabarkan akan menceburkan diri dalam dunia politik selepas kali terakhir beraksi bersama Sabah ketika bertemu Sri Pahang FC di Stadium Likas, Sabah pada 15 Julai lalu.

Berita itu disahkan menerusi pengumuman dibuat Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Sanusi Md Nor pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan PN Kedah di Kompleks PAS Kedah pada Rabu.

Baddrol diumumkan sebagai calon muka baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini.

Perkara tersebut sekali gus menjawab teka-teki berhubung nama pemain bola sepak itu yang sebelum ini disebut-sebut bakal menjadi salah seorang calon PN di Kedah.

Selain Baddrol, seorang lagi legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din turut diumumkan bertanding bagi kerusi DUN Alor Mengkudu.

Radhi yang ketika ini memegang jawatan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Lada, pernah menjadi calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, namun tewas di Parlimen Pokok Sena.

Memulakan karier sebagai pemain bola sepak, kelibat kedua-dua individu kelahiran Kedah itu dijangka mampu mempengaruhi kedudukan mereka dalam PRN kelak.

Meraih sokongan serta kepercayaan ramai dalam kalangan penduduk di negeri Jelapang Padi, ia sekali gus membantu mereka untuk dilantik sebagai Yang Berhormat di kawasan masing-masing satu hari nanti.

Berikut Majoriti senaraikan latar belakang serta kejayaan mereka dalam karier bola sepak Liga Malaysia (Liga M).

radhii

Radhi Mat Din

Nama Radhi Mat Din mencuri perhatian apabila muncul sebagai antara pemain paling penting ketika zaman kegemilangan Kedah FA pada 1980-an dan 1990-an.

Dia yang diberikan peranan kapten turut memberikan satu sumbangan cukup baik dengan pasukan berkenaan mencatatkan kejayaan demi kejayaan sepanjang tempoh tersebut.

Selepas bertahun-tahun beraksi dalam Liga Super, Radhi kemudiannya menamatkan kariernya pada awal dekad 2000-an selepas menjulang beberapa trofi.

Tetapi, hubungannya dengan Kedah FA tidak terputus dengan anak jati Pokok Sena itu menjadi pembantu jurulatih kepada Azraai Khor Abdullah.

Ia jelas menjadi satu gandingan cukup meyakinkan apabila skuad Sang Kenari menjadi pasukan tempatan pertama yang meraih tiga trofi dalam semusim sebanyak dua kali berturut-turut.

Namun, selepas bertahun-tahun terlibat dalam bola sepak, Radhi kemudiannya cuba untuk terlibat dalam bidang politik dengan pengaruhnya sukar dipersoalkan.

radhi

Radhi (kanan) masih belum berputus asa berjuang dalam dunia politik.

Penglibatan itu disaksikan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dengan dia mewakili PAS untuk bertanding di Parlimen Pokok Sena.

Bagaimanapun, nasib jelas tidak berpihak kepadanya apabila tewas kepada wakil parti Amanah, Mahfuz Omar dengan majoriti sebanyak 5,558 undi.

Namun, Radhi sekali lagi difahamkan cuba untuk bertanding di DUN Bukit Selambau yang kini disandang ahli politik Umno, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

babab

Baddrol ketika beraksi bersama Sabah FC musim ini.

Berbeza dengan Baddrol yang mana selepas beraksi semusim setengah bersama Sabah FC, jeneral berusia 35 tahun itu akhirnya memilih untuk meninggalkan kelab The Rhinos.

Sebelum mewakili Sabah, Baddrol sebelum itu mempunyai hubungan baik dengan kelab Utara tanah air iaitu Kedah FC selepas beraksi kira-kira 15 tahun dengan pasukan berkenaan.

Disanjungi oleh penyokong di negeri kelahirannya, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) turut menganggap pemain itu sebagai legenda sebenar pasukan Kedah.

Perkara itu dikongsikan menerusi laman Twitter TMJ yang memuji serta memberikan gelaran tertinggi itu kepadanya.

tdnd

Ciapan Twitter TMJ berhubung Baddrol pada 2018.

"Legenda sebenar Kedah. Penghormatan yang besar buat Baddrol Bakhtiar," kata TMJ di Twitter miliknya yang turut dimuat naik bersama gambarnya dan bekas jeneral tengah KDA FC itu.

Dalam pada itu, di arena politik negara, dia dijangka berhadapan lawan daripada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Mohammed Firdaus adalah anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, DUN Gurun dimenangi Johari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selepas meraih 10,732 undi, namun beliau mengosongkan kerusi itu susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Disember lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram