Baddrol sertai legenda Kedah, 'Tauke' jika pilih ceburi bidang politik


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Baddrol seperti memilih untuk menamatkan kariernya dalam dunia bola sepak untuk menceburi bidang politik. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

KENCANG khabar angin di media sosial mengatakan bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar akan meninggalkan sukan bola sepak untuk menceburi bidang politik.

Selepas meluangkan semusim setengah bersama Sabah FC, jeneral berusia 35 tahun terbabit memilih untuk meninggalkan kelab Borneo itu.

Bagi rata-rata peminat, destinasi paling relevan buat Baddrol adalah untuk dia kembali ke Kedah Darul Aman (KDA) FC melihat kepada tahun-tahun perkhidmatannya dengan skuad Sang Kenari.

Selain itu, hubungannya dengan pasukan Utara tanah air itu cukup baik dengan penyokong Hijau Kuning sering mengalu-alukan kepulangan bekas kapten mereka itu.

Namun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila terdapat ura-ura yang mengatakan pemain berkenaan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

359761457_660515762781785_6324550264927986221_n

Baddrol mengesahkan pemergiannya dari Sabah FC pada Jumaat. Facebook/Sabah FC

Perkara itu berpunca daripada laporan beberapa wartawan tempatan dengan perkara itu tidak ditepis penyokong meskipun ada yang mengharapkan agar Baddrol tidak menamatkan kariernya terlebih dahulu.

Tambahan pula, hasrat itu masih boleh diterima memandangkan ia bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia bola sepak untuk bekas pemain menceburi bidang politik.

Perubahan dalam karier dapat disaksikan di peringkat antarabangsa dengan beberapa ikon, seperti George Weah dan Hakan Sukur pernah mencuba nasib masing-masing.

Tetapi, dalam landskap tempatan, masih ada dua bekas pemain yang pernah menceburi bidang berkenaan meskipun mengetahui cabaran besar dalam berpolitik.

1. Radhi Mat Din

Nama Radhi Mat Din mencuri perhatian apabila muncul sebagai antara pemain paling penting ketika zaman kegemilangan Kedah FA pada 1980-an dan 1990-an.

Dia yang diberikan peranan kapten turut memberikan satu sumbangan cukup baik dengan pasukan berkenaan mencatatkan kejayaan demi kejayaan pada tempoh itu.

Selepas bertahun-tahun beraksi dalam Liga Super, Radhi kemudiannya menamatkan kariernya pada awal dekad 2000-an selepas menjulang beberapa trofi.

Tetapi, hubungannya dengan Kedah FA tidak terputus dengan anak jati Pokok Sena, Kedah itu menjadi pembantu jurulatih kepada Azraai Khor Abdullah.

WhatsApp Image 2023-07-15 at 00.30.08 (1)

Radhi (kanan) masih tidak mahu menamatkan kariernya dalam politik.

Ia jelas menjadi satu gandingan cukup meyakinkan apabila skuad Sang Kenari menjadi pasukan tempatan pertama yang meraih tiga trofi dalam semusim sebanyak dua kali berturut-turut.

Namun, selepas bertahun-tahun terlibat dalam bola sepak, Radhi kemudiannya cuba untuk terlibat dalam bidang politik dengan pengaruhnya sukar dipersoalkan.

Penglibatan itu disaksikan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dengan dia mewakili Pas untuk bertanding di Parlimen Pokok Sena.

Bagaimanapun, nasib jelas tidak berpihak kepadanya apabila tewas kepada wakil parti Amanah, Mahfuz Omar dengan majoriti sebanyak 5,558 undi.

Namun, Radhi sekali lagi difahamkan cuba untuk bertanding di DUN Bukit Selambau yang kini milik ahli politik Umno, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

2. Soh Chin Ann

Zaman kegemilangan Harimau Malaya dapat disaksikan pada dekad 1980-an dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan mendiang Datuk K Aramugam menjadi tonggak utama skuad itu.

Tetapi, salah seorang yang turut sering diberikan perhatian ialah Datuk Soh Chin Ann yang cukup penting untuk membantu benteng pertahanan mereka.

Sumbangannya itu membolehkan pasukan negara menjulang beberapa kejuaraan, termasuk menjuarai dua gelaran Sukan SEA dan empat gelaran Pestabola Merdeka.

Dari segi individu pula, Chin Ann yang lebih dikenali sebagai 'Tauke' dalam kalangan peminat otai bola sepak kebangsaan turut menerima pelbagai gelaran, termasuk menjadi pemain dengan penampilan terbanyak di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image 2023-07-15 at 00.30.08

Chin Ann (atas,kiri) boleh dianggap sebagai salah seorang legenda bola sepak tanah air.

Pada 1988, anak jati Alor Gajah, Melaka itu memilih untuk menamatkan kariernya selepas dengan Melaka FA menjadi pasukan terakhir diwakilinya.

Namun, dua tahun sebelum itu, Chin Ann menjadi antara pemain bola sepak terawal untuk menceburi bidang politik dengan penglibatan bersama MCA.

Tetapi, seperti Radhi, dia tewas kepada tokoh politik negara, Lim Guan Eng yang ketika itu sudah bersama-sama DAP dengan kedua-dua mereka merebut kerusi Parlimen Kota Melaka.

16,967 undi yang diperolehinya tidak cukup untuk membantunya menguasai kawasan itu dengan majoriti 17,606 menyaksikannya tewas dalam penampilan sulungnya dalam PRU. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram