PRN 6 negeri: Hari mengundi 12 Ogos


  • Politik
  • Rabu, 05 Jul 2023

Hari mengundi bagi PRN enam negeri terbabit ditetapkan pada 12 Ogos. — Bernama

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan diadakan secara serentak dengan hari mengundi ditetapkan pada 12 Ogos 2023.

Ia membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menurut SPR, hari pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos 2023 manakala hari penamaan calon pula 29 Julai 2023.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam pengumuman pada Rabu berkata, tarikh penamaan calon bagi pelaksanaan PRN di enam negeri itu ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Beliau berkata, jumlah pengundi yang akan terlibat dalam PRN di enam negeri berkenaan adalah kira-kira 9.7 juta.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan dalam PRN itu adalah daftar pemilih terkini, sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN.

Mesyuarat itu diadakan susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN enam negeri berkenaan.

Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor pada 23 Jun, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Enam negeri berkenaan tidak membubarkan DUN mereka bersekali dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

Abdul Ghani berkata, PRN di enam negeri itu akan melibatkan 245 DUN iaitu 36 kerusi DUN di Kedah, 45 kerusi di Kelantan, 32 kerusi di Terengganu, 40 kerusi di Pulau Pinang, 56 kerusi di Selangor dan 36 kerusi di Negeri Sembilan.

"Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding pada 29 Julai ini sehingga 11.58 malam pada 11 Ogos,” katanya.

Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 15 Jun lepas.

Tarikh tutup permohonan undi pos adalah pada 26 Julai bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media); 8 Julai bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 11 Julai bagi kategori 1C (agensi/organisasi). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram