Adakah Muda langgar kerusi PH?


  • Politik
  • Isnin, 17 Jul 2023

Syed Saddiq (depan) ketika mengumumkan empat calon Muda pada Jumaat. — Bernama

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjadi antara yang terawal mengumumkan nama calon yang bakal diletakkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos depan.

Meskipun ia dibuat secara berperingkat, namun pemberian senarai awal itu merupakan petanda bahawa parti itu benar-benar serius untuk memberikan cabaran pada pilihan raya kali ini.

Empat calon pertama diumumkan yang terdiri daripada muka baharu itu kesemuanya membabitkan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor iaitu DUN Seri Serdang, DUN Batu Tiga, DUN Sentosa dan DUN Bukit Antarabangsa.

Dengan melihat kepada senarai awal tersebut, ia ternyata menjemput banyak kritikan khususnya daripada ahli dan juga penyokong Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan yang pernah menjalinkan kerjasama bersama Muda dalam dua siri pilihan raya sebelum ini.

Asas kepada rasa tidak puas hati tersebut adalah kerana kesemua kerusi yang diumumkan ditandingi parti itu terdiri daripada kawasan disandang oleh parti komponen daripada gabungan tersebut.

Menurut hujah kumpulan tersebut, sekiranya Muda benar-benar lebih mesra kepada kerajaan PH, parti itu sepatutnya memilih kerusi disandang oleh pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN).

Katanya, langkah itu dilihat lebih masuk akal memandangkan di peringkat Persekutuan, Muda hanya mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat iaitu Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Parlimen Muar yang merupakan antara pendukung kepada kerajaan semasa.

Pada masa sama, perkembangan tersebut juga dilihat lebih menguatkan lagi sentimen negatif terhadap parti itu yang digambarkan seolah-olah menjadi tunggangan pihak tertentu dalam politik negara untuk melemahkan PH.

Namun begitu, perlu diingatkan adalah masih agak terlalu awal untuk menyatakan bahawa Muda hanya memilih bagi bersaing di kerusi dipegang oleh bekas rakan kerjasamanya itu.

Ini kerana Syed Saddiq menyatakan bahawa partinya akan bertanding di hampir 10 peratus daripada keseluruhan 245 kerusi yang dipertandingkan di kesemua enam negeri terbabit iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ini bermakna terdapat baki kira-kira 21 kerusi yang bakal diumumkan oleh Muda selepas membuat keputusan untuk tidak bersama PH dalam PRN kali ini.

Berikut Majoriti senaraikan latar belakang kepada kesemua empat kerusi yang diumumkan dalam senarai awal calon yang dikemukakan Muda.

1. DUN Seri Serdang

Muda meletakkan Setiausaha Agungnya yang juga aktivis masyarakat, Amir Hariri Abd Hadi, 32, sebagai calon bagi bersaing merebut kerusi DUN Serdang yang disandang oleh Dr Siti Mariah Mahmud yang merupakan wakil rakyat daripada parti komponen PH iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

Untuk rekod, kerusi tersebut secara tradisinya merupakan milik BN, sebelum ia dirampas oleh PAS pada PRU13 yang ketika itu bersama Pakatan Rakyat (PR) dan turut terdiri daripada PKR serta DAP.

Bagaimanapun, PAS kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Dalam pilihan raya seterusnya pada 2018, Amanah yang merupakan parti serpihan PAS mengekalkan kerusi tersebut calonnya iaitu Dr Siti Mariah dengan majoriti agak besar iaitu 14,363 undi menewaskan wakil daripada BN dan PAS.

Dr Siti Mariah yang juga Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga mengumumkan dirinya tidak akan mempertahankan kerusi disandangnya itu pada PRN kali ini.

2. DUN Batu Tiga

WhatsApp Image 2023-07-16 at 10.56.34 PM

Penyandang kerusi DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Bagi merebut kerusi DUN Batu Tiga yang terletak di Shah Alam, muda meletakkan seorang peguam iaitu Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen, 35, sebagai calonnya.

Sejak tiga penggal lalu PRU12, kerusi yang terletak di bawah Parlimen Shah Alam ini dilihat sudah menjadi kubu kuat PKR melalui pemimpinnya iaitu Rodziah Ismail.

Pada PRU lalu, beliau yang kini turut memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang berjaya menang dengan majoriti 15,616 undi dalam persaingan tiga penjuru melibatkan wakil daripada BN dan PH.

Majoriti yang direkodkan itu merupakan satu peningkatan daripada berbanding dua penggal sebelumnya iaitu hanya 3,563 undi pada PRU12 dan 3,805 (PRU13).

Sebelum PRU12, kerusi tersebut yang mula dipertandingkan pada 1986 secara tradisinya dipegang oleh calon daripada BN selama lima penggal berturut-turut.

2. DUN Sentosa

DUN Sentosa merupakan kawasan di bawah Parlimen Kota Raja. Sebelum ini DUN ini yang hanya mula diciptakan daripada dinamakan sebagai Kota Alam Shah sebelum ia ditukar pada 2018.

Sebelum ini, sejak mula diwujudkan pada 2004, kerusi ini pada awalnya disandang oleh calon daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang ketika itu di bawah BN.

Bagaimanapun, kerusi tersebut kemudiannya dikuasai oleh DAP selama dua penggal dengan dua wakil rakyat yang berbeza sejak 2008 sebelum ia diberikan kepada calon PKR pada 2018 apabila namanya ditukarkan kepada DUN Sentosa.

Pada PRU14, kerusi tersebut dimenangi oleh Gunarajah R George daripada PKR dengan majoriti besar 33,600 undi dalam saingan lima penjuru membabitkan wakil calon daripada BN, PAS, Bebas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Bagi merebut kerusi ini, Muda meletakkan aktivis pendidikan yang juga ahli jawatankuasa eksekutif pusatnya, Thanusha Ramanieswaran, 25, sebagai calon.

4. DUN Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 11 Mac -- Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika Ceramah Umum Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar hari ini.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika pertama kali pertama kali dipertandingkan pada 2004, DUN Bukit Antarabangsa dimenangi oleh calon daripada BN iaitu Azman Wahid.

Bagaimanapun, kerusi tersebut kemudiannya dikuasai oleh PKR bermula pada 2008 menerusi pimpinan utamanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau mengekalkan kerusi tersebut selama tiga penggal berturut-turut dengan kemenangan terakhirnya di kawasan terletak di bawah Parlimen Ampang itu pada 2018 diperolehinya dengan majoriti 25,512 undi dalam saingan lima penjuru membabitkan calon daripada BN, PAS, Bebas dan PRM.

Bagaimanapun, Mohammed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu kemudiannya membuat keputusan untuk keluar parti ketika 'Langkah Sheraton' pada awal 2020 untuk bersama PN.

Beliau yang juga Pengerusi PN Selangor itu bagaimanapun dijangka tidak akan mempertahankan kerusi tersebut yang dilihat sudah menjadi kubu kuat PKR.

Muda meletakkan calon yang agak muda iaitu Ketua Turus Penerangannya yang juga graduan Undang-Undang Melanie Ting Yi Hlin, 23, untuk bersaing merebut kerusi berkenaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram