BARU-BARU ini tular di media sosial satu video menunjukkan seorang pemandu e-hailing berbangsa Cina lancar membaca surah Yasin ketika membawa penumpangnya.
Rakaman berdurasi satu minit 32 saat itu dikongsikan di laman Facebook Roseni Kamaruddin pada Khamis.
Menurut individu yang merakam video berkenaan, pemandu warga emas itu mula mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan rakan-rakannya yang beragama Islam ketika bekerja di sebuah syarikat automobil sebelum ini.
"Allahuakbar..al kisah petang tadi saya ambil Grab dari Batu Belah ke AEON Bukit Tinggi, pemandu (berbangsa) Cina berusia 71 tahun, masih sihat.
"Bila saya tanya apa rahsianya, apek itu jawab, hari-hari saya doa dan baca 17 pertama ayat daripada surah Yasin. Siap baca dua kalimah syahadah.
"Ini semua hasil pergaulannya dengan rakan-rakan Melayu sewaktu bekerja di UMW Toyota suatu ketika dahulu. Meleleh air mata mendengarnya," kongsinya menerusi tulisan dalam rakaman video itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kagum mereka terhadap kelancaran pemandu tersebut mengalunkan surah yang dianggap sebagai jantung kepada kitab suci al-Quran itu.
"Semoga pakcik ini diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusannya. Nampak dia seorang yang baik. Sedangkan orang Islam sendiri tak semua yang boleh hafal surah Yasin, tapi pakcik ni laju saja dia baca," luah Khairunnisa98.
"Aku pula yang segan, aku baca masih teragak-agak," tulis noorhasidah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram