'Parti politik bukan ciptaan ALLAH yang tiada cela', mufti cakap haram putuskan hubungan keluarga sebab berbeza fahaman


  • Massa
  • Selasa, 13 Jun 2023

Wan Salim berkata, parti politik bukan merupakan ciptaan ALLAH yang suci daripada segala kesalahan dan kecelaan sebaliknya ia merupakan metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu. — Gambar hiasan

ISLAM mengharamkan penganutnya untuk memutuskan hubungan silaturrahim termasuk sesama keluarga kerana perbezaan pegangan politik mahupun parti yang disokong, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata, ini kerana parti politik bukan merupakan ciptaan ALLAH yang terlepas daripada segala kesalahan dan cela, sebaliknya ia merupakan hanya metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu.

"Apa jua yang direkayasa pemikiran manusia tentu ada kelemahan dan kekurangan. Justeru tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apa lagi menjadi faktor memutuskan hubungan silaturrahim antara anggota keluarga, adik-beradik dan kaum kerabat," katanya kepada Majoriti.

Menurut Wan Salim, tindakan memutuskan silaturrahim itu bukan sahaja merupakan salah satu dosa besar, malah terdapat hadis muttafaq ‘alaih iaitu kategori hadis yang disepakati kesahihannya turut menegaskan seseorang berbuat demikian tidak akan masuk syurga.

Penang mufti Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Katanya, terdapat banyak juga ayat al-Quran mewajibkan silaturrahim antara adik beradik dan kaum kerabat serta mengharamkan perbuatan memutuskan hubungan antaranya dalam surah al-Baqarah ayat ke-27; surah an-Nisa’(1); surah ar-Ra’du (21 dan 25) dan surah Muhammad (22 dan 23).

Di dalam hadis lain, beliau berkata, Rasulullah SAW juga bersabda yang membawa maksud, “Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, hendaklah dia hubungkan ikatan kasih sayang antara kaum kerabatnya...”.

"Silaturrahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta dengan sebab seseorang disakiti atau dianiayai oleh mana-mana adik beradik atau kaum kerabatnya sekalipun.

"Apa yang patut dilakukan dalam situasi sebegini adalah menegur dan memberi kata-kata nasihat yang baik di samping teruskan hubungan yang baik dengan mereka.

"Tetapi jika ada yang melakukan maksiat secara terang dan tidak mahu menerima nasihat maka bolehlah, malah wajib dia dipulau dengan niat semoga ini akan memberi keinsafan kepadanya," ujarnya.

Supporters of various political parties contesting for  P. 098 Gombak leaving the nomination centre at SMK Sungai Pusu in Gombak. AZHAR MAHFOF/The Star

Wan Salim menyarankan kepada pemimpin parti politik agar menjelaskan hukum berkenaan kepada pengikut masing-masing. — Gambar hiasan

Pada masa sama, beliau turut menyarankan agar pemimpin parti politik negara, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya menjelaskan hukum tersebut kepada pengikut masing-masing.

"Janganlah mereka menjadi 'batu api' memecahbelahkan perpaduan umat Islam. Sebaliknya semua pihak mesti berusaha untuk memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam, malah antara sesama warga Malaysia daripada pelbagai kaum dan penganut agama yang berbeza," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram