PERISTIWA kehilangan orang yang tersayang terutamanya melibatkan ahli keluarga sendiri bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh mana-mana individu.
Perkara itu lebih memeritkan sekiranya pemergian itu berlaku secara mengejut dan turut melibatkan jumlah kematian yang ramai.
Itulah dugaan terpaksa dilalui seorang datuk selepas terpaksa melalui kehilangan bukan sahaja seorang anak dan menantunya, tetapi juga tujuh orang cucu kesayangannya dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu pada Ahad lalu.
Dalam kejadian tersebut, kesemua sembilan ahli keluarga Eiyi Johari, 60, terkorban selepas lemas dibawa air deras yang berpunca daripada insiden kepala air yang berlaku di kawasan tersebut.
Peristiwa kehilangan tersebut pastinya meninggalkan satu kesan besar terhadap ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Namun, seperti yang perlu diyakini oleh semua umat Islam, ajal dan maut itu sememangnya di tangan ALLAH.
Disebabkan itu, sebagai seorang hamba, kita seharusnya percaya bahawa setiap kejadian itu berada dalam ketentuan qada dan qadar daripada ALLAH.
Pada masa sama, khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu menjelaskan Rasulullah turut meninggalkan panduan bagi umatnya yang sedang menghadapi dugaan besar dalam hidupnya.
Imam Abu Daud turut meriwayatkan adalah menjadi kebiasaan untuk Rasulullah bagi segera berdoa kepada ALLAH setiap kali berlaku perkara yang tidak diingini. — Gambar hiasan
Dalam berhadapan situasi getir termasuk ketika kehilangan keluarga tersayang, antara pegangan hidup diajarkan Nabi Muhammad adalah keperluan untuk menyerahkan sepenuhnya segala ketentuan hidup kepada ALLAH.
Pemahaman tersebut penting kerana manusia tidak dapat lari daripada hakikat bahawa setiap yang berlaku di alam ini merupakan ketentuan daripada ALLAH.
Ia selari dengan firman ALLAH dalam Surah al-Taghabun, ayat 11 yang bermaksud: "Katakanlah, sesungguhnya petunjuk ALLAH itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
Penyerahan dibuat Rasulullah itu juga boleh disaksikan dalam peristiwa di Taif apabila masyarakat di tempat yang didatangi itu menolak dakwah dibawa Baginda.
Malah, mereka juga menghalau Nabi Muhammad S.A.W sambil melontar batu sehingga menyebabkan tumit Baginda berdarah.
Apabila berhadapan situasi tersebut, Baginda terus berdoa dan mengadu kepada ALLAH yang bermaksud: “Ya ALLAH! Sesungguhnya aku mengadu kepada-Mu lemah kekuatan dan helah serta hinanya daku pada pandangan manusia, wahai Tuhan yang amat mengasihani, Engkaulah Tuhan bagi orang-orang yang lemah...namun begitu jika Kamu tidak murkakan daku aku tidak peduli apa pun yang berlaku pada-Ku”.
Kisah tersebut menyaksikan Rasulullah bagaimana Rasulullah S.A.W sentiasa mengadu dan menyerah kepada ALLAH dalam setiap cabaran apa yang berlaku dalam kehidupannya.
Tanpa penyerahan, manusia hanya akan dirundung rasa kecewa, putus asa, kemurungan dan turut berpotensi menjejaskan kesihatan diri.
Dalam pada itu, Imam Abu Daud turut meriwayatkan adalah menjadi kebiasaan bagi Rasulullah untuk segera berdoa kepada ALLAH setiap kali berlaku perkara yang tidak diingini.
Sebagaimana diriwayatkan daripada Abū Huraifah r.a bermaksud: "Apabila Nabi Muhammad menghadapi sesuatu perkara yang besar Baginda segera melakukan solat”.
Hadis tersebut secara langsung menjelaskan bahawa apabila menghadapi sebarang musibah, perkara utama patut dilakukan adalah berdoa bersungguh-sungguh memohon petunjuk dan pertolongan daripada ALLAH sebagai tempat mengadu yang utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram