DALAM zaman moden yang serba pantas ini, manusia dilihat sering berkejar-kejar dengan perkara yang mereka tidak nampak di mata mereka iaitu masa.
Malah masa yang diberi selama 24 jam sehari seolah-olah tidak cukup untuk menyiapkan tugasan atau tanggungjawab yang banyak pada hari berkenaan sehingga perlu disambung pada keesokan hari.
Disebabkan itu, kualiti kerja turut terjejas dan hidup mulai tidak teratur kerana lelah dalam mengejar waktu yang akhirnya menyebabkan waktu solat bagi seorang Muslim turut terjejas.
Kalau pun masih sempat menunaikan solat, mungkin kualitinya merosot kerana tidak khusyuk lantaran masih teringat-ingat akan kerjanya dan hal-hal duniawi amnya.
Sudahlah kualiti solatnya tidak seberapa, hidupnya juga tidak tenang dan sentiasa resah memikirkan 1,001 masalah yang melanda dirinya.
Oleh itu, pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah mencadangkan agar umat Islam untuk membetulkan solat terlebih dahulu demi mendapatkan kehidupan yang lebih tenang.
Tangkap layar ciapan Dr Mohd Fazdzilah yang menasihatkan umat Islam untuk memperbaiki kehidupan menerusi solatnya.
Beliau menerusi satu ciapan berkata, terdapat segelintir manusia yang sering tergesa-gesa untuk menunaikan solat kerana terlalu sibuk dengan kerja.
"Nak betulkan hidup? Betulkan dulu solatmu. Perhatikan bagaimana bacaan, tertib dan pergerakanmu ketika solat.
"Hari ini ramai yang solat dalam kelam-kabut. Nak cepat selesai. Itu yang hidup pun boleh jadi kelam kabut juga.
"Bukan semua orang, kebanyakan sahaja begitu," ciapnya.
Ingatlah, ALLAH SWT pernah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 238 yang bermaksud: "Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk."
Benar kerja dan tanggungjawab yang digalas itu perlu dilaksanakan sebaiknya, namun janganlah hingga mengabaikan kualiti solat serta ibadah yang ditunaikan.
Kedua-duanya perlu diseimbangkan agar kehidupan lebih diberkati dan diredai ALLAH SWT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram