Kes pecah rumah, 3 suspek termasuk bekas pemain bola sepak enggan mengaku salah


Tertuduh, Mohd Azinee Taib, 33, (kanan) dan Muhamad Hairul Hafiz Muzaren, 24 (kiri) tiba di Mahkamah Majistret Pontian, Johor. — The Star

SEORANG bekas pemain bola sepak dan dua lagi lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Pontian, Johor atas tuduhan memiliki barang curi dan memecah masuk sebuah rumah di Benut, Pontian awal bulan Julai.

Tertuduh, Mohd Azinee Taib, 33, Muhamad Hairul Hafiz Muzaren, 24, dan Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati pada Ahad.

Menurut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka dengan niat yang sama, memecah masuk ke dalam rumah seorang lelaki berusia 35 tahun dengan tujuan untuk mencuri barangan miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cendana 2, Taman Cendana, Benut, Pontian, pada 3 Julai lalu.

Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dalam pertuduhan kedua, Mohd Azinee bersama dua lagi lelaki yang masih bebas didakwa memecah masuk rumah seorang lelaki berusia 64 tahun dengan niat untuk mencuri barangan peribadi mangsa.

Ia didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong 8, Taman Benut Utama, Pontian, pukul 12.05 tengah hari pada 8 Jun bulan lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd Azinee didapati memiliki telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 35 tahun pada 3 Julai, pukul 4.30 petang di sebuah jeti nelayan di Ayer Baloi, Pontian.

Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menghadapi pertuduhan sama ialah Muhamad Hairul Hafiz, yang didapati memiliki wang tunai Korea Selatan bernilai KRW22,000 (RM78), sebuah dompet dan dua tiket penerbangan Vietnam Airlines pada hari yang sama, 3 Julai, pukul 1.30 tengah hari di tepi jalan Jalan Johor Baru-Batu Pahat, Ayer Baloi.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Nurezzati Zaini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurezzati meminta ikat jamin ditetapkan sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan. Ketiga-tiga mereka dalam mitigasi, telah meminta jaminan yang lebih rendah kerana masing-masing difahamkan menjaga keluarga mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tempoh tambahan diarahkan untuk melaporkan diri ke balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan kes seterusnya.

Untuk rekod, pada 7 Julai lalu, dilaporkan seorang bekas pemain bola sepak yang dipercayai bermain untuk beberapa pasukan utama Liga Super, ditahan atas kesalahan pecah rumah di Benut pada 3 Julai lalu.

Menurut laporan media, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah dan menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit mangsa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram