[VIDEO] Perginya dalam husnul khatimah, Ustaz Soberi Awang meninggal ketika sampaikan kuliah subuh


  • Massa
  • Ahad, 30 Jul 2023

Ustaz Mohd Soberi Awang dilaporkan meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah subuh di Surau Al Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam.

PARA ulama serta masyarakat Islam di negara ini dikejutkan dengan berita Ustaz Dr Mohd Soberi Awang yang dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyampaikan kuliah subuh di Surau Al Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (Muis) itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada pukul 7.55 pagi.

Berita itu dimaklumkan sendiri oleh menantunya, Mus'ab Umairi di laman Facebook.

"Hari ini ayah mentua saya, almarhum Ustaz Dr Soberi Awang telah kembali kepada penciptanya. Subuh kami di Cairo dibasahi air mata rindu.

"Alhamdulillah atas nikmat bersama baba walau cuma sekejap, banyak Umai belajar daripada baba. Moga ALLAH tempatkan baba bersama para syuhada dan solehin," katanya.

Difahamkan, Allahyarham mengalami sakit dada sebelum rebah.

Sementara itu, penceramah kuliah, Ustaz Luqman Daud turut mengucapkan takziah atas kehilangan insan kehormat itu dengan menyifatkan ia sebagai pemergian yang sangat dicemburui.

"Meninggal dunia ketika sedang menyampaikan kuliah subuh pagi tadi di surau.

"Ayat terakhir beliau adalah - 'Dan manusia semuanya keluar berhimpun menghadap ALLAH, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa'.

"Pemergian yang sangat dicemburui, Subhanallah, semoga ALLAH menempatkan Allahyarham Ustaz Dr Mohd Soberi Awang bersama para anbia, aulia dan ditinggikan darjatnya," katanya.

Menerusi kuliah subuh itu, Allahyarham menyampaikan topik hari kiamat dan sempat mengupas bahawa bumi ini sudah terlalu uzur selain perjalanan sesudah mati masih terlalu jauh untuk menunggu padang mahsyar nanti.

Di penghujung kuliah yang terhenti selepas 20 minit, beliau sempat meminta maaf kerana sakit dada sejak lima hari lalu sambil menekan dadanya dan sempat meneguk air.

Beliau kemudiannya tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jenazah difahamkan akan disolatkan selepas maghrib di surau tersebut sebelum dibawa ke Kemaman, Terengganu untuk dikebumikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram