[VIDEO] 'Spinning ride' rosak, penumpang hampir pitam berpusing selama 10 minit tanpa henti


  • Benua
  • Ahad, 30 Jul 2023

Tangkap layar beberapa penumpang berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam sebuah mesin permainan yang rosak di Rye Playland, New York.

PENGUNJUNG sebuah taman hiburan di Rye Playland, New York, Amerika Syarikat berdepan detik trauma apabila mesin permainan dinaiki gagal berfungsi sebaiknya pada Ahad lalu.

Beberapa individu dilaporkan terperangkap dalam sebuah mesin yang berputar secara mengundur selama 10 minit tanpa henti.

Difahamkan, mesin permainan itu terlebih dahulu berfungsi dengan baik sebelum ia mula berputar dengan kelajuan tinggi dan tidak berhenti mengikut masa yang ditetapkan.

Rakaman kejadian dirakamkan oleh pengunjung di tempat tersebut dan hangat diperkatakan di laman media.

Gusar dengan situasi terbabit, individu lain turut menggesa petugas di situ untuk menghentikan mesin tersebut selain jeritan orang ramai turut kedengaran ketika kejadian.

Pengendali mesin itu bagaimanapun gagal untuk mengawal keadaan apabila fius mesin permainan itu dikatakan sudah rosak.

Namun, beberapa kru penyelenggaraan kemudiannya dipanggil untuk memutuskan bekalan elektrik di taman hiburan berkenaan sekali gus berjaya menyelamatkan penumpang yang terperangkap.

Pegawai di acara hiburan itu berkata, masalah itu tercetus akibat kerosakan bekalan elektrik pada mesin permainan tersebut dan difahamkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram