[VIDEO] 'Undi dulu baru tahu manifesto', Baddrol dilabel tiada hala tuju, hanya 'boneka' PN di DUN Gurun


  • Politik
  • Isnin, 31 Jul 2023

Baddrol (tengah) pada hari penamaan calon di Dewan Lestari, Guar Chempedak, yang berlangsung Sabtu.

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar dilabel tiada hala tuju dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos kelak.

Perkara itu diluahkan bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yang menganggap pemain bola sepak kelahiran Kedah itu seolah-olah tiada visi dan misi bagi kawasan DUN Gurun.

Ia susulan satu sesi temu bual Baddrol pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Dewan Lestari, Guar Chempedak, Kedah pada Sabtu yang melihatkan bekas tonggak tengah Sabah FC itu tidak bijak menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan.

Ketika ditanya soal manifesto yang bakal disajikan olehnya buat penduduk di Gurun, Kuala Muda, Baddrol menepis pertanyaan itu dengan meminta orang ramai untuk mengundinya terlebih dahulu sebelum boleh memaklumkan visinya di kawasan tersebut.

"Ya, memang saya ada manifesto sendiri, tetapi manifesto itu akan terjadi bila kemenangan berpihak kepada saya," katanya.

Apabila ditanya lagi tentang perkara sama, Baddrol tetap dengan jawapannya, “Kena undi dulu baru boleh bagi tahu. Surprise. Dekat Kedah ni akan ada kejutan,” ujar legenda bola sepak Kedah Darul Aman FC itu lagi.

Mendakwa Baddrol seakan-akan tiada prinsip dan tidak menunjukkan watak pemimpin berpotensi di DUN Gurun, Zahida Zarik lantas mempertikaikan situasi itu di laman Facebook peribadinya pada Ahad.

"Dari sini dapat disimpulkan, Baddrol tiada misi dan visi atau manifesto untuk DUN Gurun.

"Walaupun dia calon paling banyak turun padang, tapi padang bola sepak dan padang politik tidak sama bro," katanya.

Dalam pada itu, Zahida turut berpendapat bahawa pemilihan pemain bola itu sebagai calon di Gurun hanya salah satu daripada perancangan ataupun taktik kotor PN yang sanggup melakukan apa sahaja demi kemenangan.

"Daripada pemerhatian saya, sebenarnya PN cuba pergunakan populariti dia disebabkan mereka ketandusan calon di DUN Gurun.

"PN sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan mereka tidak kisah imej Baddrol akan rosak.

"Walhal takkan tiada calon PAS di Gurun yang boleh jadi calon yang selama ini sudah lama buat kerja," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram