Akibat salah faham, pekerja ladang tergamak bakar isteri dengan petrol di Tasek Gelugor


  • 112
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Seorang wanita maut dibakar suaminya akibat perselisihan faham di kediamannya dekat Tasek Gelugor, George Town, Pulau Pinang. — Gambar hiasan

AKIBAT perselisihan faham, seorang wanita maut dibakar suaminya dalam kejadian di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Isnin.

Mangsa berusia 35 tahun itu dilaporkan melecur sehingga 27 peratus pada anggota badan dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa pada pukul 10.45 malam berhubung kejadian sebelum anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, ketika kejadian keempat-empat anak mereka berusia antara 10 hingga 15 tahun berada di rumah.

"Hasil siasatan awal mendapati anak lelaki mangsa berusia 13 tahun mendakwa mereka berada dalam bilik sebelum terdengar pergaduhan antara ibu dan bapanya.

"Remaja itu cuba keluar bagi melihat kejadian sebelum menyedari pintu bilik dikunci dari luar dan cuba menarik pintu serta berjaya membukanya," lapor MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, remaja itu kemudian melihat ibunya berada di bahagian belakang luar rumah dalam keadaan badan terbakar manakala suspek cuba padamkan api itu menggunakan kain.

Katanya, suspek yang berusia 36 tahun itu bertindak melarikan diri apabila menyedari api pada badan mangsa semakin merebak.

"Mangsa sempat meminta bantuan anak lelakinya mengambil air bagi memadamkan api itu.

"Remaja lelaki berkenaan mengambil air dari bilik air berdekatan dan memadamkan api pada badan mangsa sebelum meminta bantuan daripada jiran bagi menghubungi pihak polis," katanya.

Mohd Asri berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan semakan pegawai perubatan mendapati wanita terbabit melecur 27 peratus pada anggota badan.

"Semakan lanjut mendapati, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk pernah mencederakan mangsa.

"Pasangan suami isteri itu merupakan pekerja ladang dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram