Jemputan debat Rafizi disahut, Mohd Syahir siap cadang tajuk


  • Primer
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengesahkan beliau menerima jemputan debat daripada Rafizi Ramli menerusi ciapan di laman Twitter.

AHLI Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengesahkan beliau sudi menerima jemputan debat daripada Rafizi Ramli.

Perkara itu dikongsikan di laman Twitter peribadinya pada Selasa susulan surat jemputan yang dihantar kepadanya oleh Menteri Ekonomi tersebut pada Ahad lalu.

Jelasnya, beliau menyatakan persetujuan berkenaan hal itu di samping turut mencadangkan tajuk dalam sesi perdebatan tersebut.

"Setelah mendapat perkenan, saya dengan ini menyatakan persetujuan.

"Format, moderator, tarikh dan tempat YB Rafizi Ramli yang tentukan.

"Tajuk 'Malaysia Lebih Baik' saya cadangkan. Bismillah," ciapnya di Twitter.

Media sebelum ini melaporkan, Rafizi mengajak Mohd Syahir untuk berdebat dengannya selepas cabaran itu ditolak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohd Syahir kemudiannya menolak pelawaan tersebut kerana bersependapat dengan Muhammad Sanusi mengenai keperluan penganjuran debat pada waktu ini dan menolak pelawaan terbabit.

Muhammad Sanusi sebelum ini menyatakan bahawa beliau menolak cabaran debat daripada Rafizi kerana langkah tersebut tidak menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Bagaimanapun berdasarkan perkembangan terbaru, Mohd Syahir akhirnya bersetuju untuk meneruskan acara debat tersebut.

Dalam pada itu, menurut Rafizi, majlis debat itu memberi peluang kepada rakyat untuk mendengar idea pemimpin terhadap hala tuju ekonomi negara dan akan diterjemahkan kepada masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram