PILIHAN Raya Negeri (PRN) Selangor menyaksikan beberapa muka baharu disenaraikan sebagai calon pilihan raya pada kali ini.
Antara calon muka baharu yang mendapat perhatian ramai ialah Abe Lim Hooi Sean, 27, yang mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.
Menyertai parti yang diterajui oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sejak 2020, Abe Lim mengakui pendekatan parti itu yang lebih menfokuskan isu rakyat menyebabkannya tertarik untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan mereka.
"Politik Muda sangat genuine dan (cenderung) mengatakan perkara yang benar tentang isu rakyat.
"Terdapat banyak sangat isu yang berlaku (ketika ini), misalnya di Bandar Utama (banyak) tempat letak kereta berganda dan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) sudah lama dah, tetapi masih belum ada apa-apa tindakan.
"Jadi kami dari parti Muda, betul-betul nak jadi suara rakyat," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon PRN Selangor untuk DUN N36 Bandar Utama di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Lebuh Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai pengalaman kali pertama mendaftar sebagai calon pilihan raya, Abe Lim berkata, suasana yang dialaminya pada pagi Sabtu itu mengingatkan kembali dia ketika zaman persekolahannya dahulu.
"Proses (penamaan calon) tadi berlangsung dengan cepat. Macam buat ujian SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).
"(Ambil ujian dalam) satu dewan, semua orang tunggu, ada protokol dan semua orang pun sangat respectful," katanya dengan wajah ceria dan dengan nada berseloroh.
Untuk makluman, wanita berasal dari Ipoh, Perak itu juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif firma Kitar Semula Purpose Plastics.
Abe Lim menyertai parti Muda sejak tahun 2020.
Mengulas mengenai perancangannya terhadap Bandar Utama, Abe Lim berkata, dia berhasrat untuk memberi fokus terhadap perancangan bandar yang menghijau untuk kebaikan generasi akan datang.
"Kita sangat memerlukan kawasan yang menghijau, dan di Bandar Utama dilihat semakin membangun tetapi tidak cukup untuk mencapai tanah hijau.
"Jadi kita perlu mencari keseimbangan antara pembangunan dan manusia. Semua orang dalam dunia bertarung untuk perubahan iklim, sedangkan kita?
"Politik berasaskan kaum? Ini sesuatu yang kita perlu elakkan sebenarnya dan ini juga sebabnya saya berada di sini (menjadi calon)," jelasnya.
Abe Lim (tengah) bergambar bersama Jamaliah (kiri) dan Nur Aliff (kanan) selepas mendapat nombor calon masing-masing.
Untuk rekod, PRN di DUN Bandar Utama bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada kali ini.
Mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bersaing di kawasan itu ialah Jamaliah Jamaluddin, manakala Nur Aliff Mohd Tafid, calon mewakili Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram