Tak perlu perkecil pihak lawan, penyandang kerusi DUN Sungai Kandis yakin gabungan PH-BN mampu raih undian terbesar


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Mohd Zawawi (dua dari kanan) semasa berkumpul bersama penyokong untuk penamaan calon PRN Selangor untuk DUN N49 Sungai Kandis di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga pada Sabtu.

GABUNGAN antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dilihat mampu meraih lebih sokongan daripada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini, kata calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Katanya, BN dan Umno dilihat memberikan sokongan padu terhadap mereka untuk PRN kali ini.

"Selepas bertemu dengan pimpinan Umno dan BN serta Parti Amanah Negara (Amanah), mereka berikan sokongan padu (terhadap kami).

"Ini adalah satu sejarah yang mana PH dan Umno dan BN bergabung tenaga dan kita pasti dapat raih sokongan terbesar dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor untuk DUN N49 Sungai Kandis di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

PRN Selangor di DUN N49 Sungai Kandis kali ini menyaksikan beliau bertanding menentang dua calon daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff dan Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Wan Dzahanurin Ahmad.

Mohd Zawawi yang sebelum ini menyandang kerusi tersebut bagaimanapun tidak akan memperkecilkan usaha parti-parti tersebut untuk terus mempertahankan DUN berkenaan.

IMG-20230729-WA0484

Mohd Zawawi (kanan) berselisih dengan calon PN, Wan Dzahanurin sebelum memasuki Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga pada Sabtu.

Katanya, beliau percaya dengan usaha kerajaan Selangor sebelum ini berjaya memakmurkan rakyat menerusi pelbagai program dan inistiatif.

"Tanpa memperkecilkan keupayaan parti lawan, dengan persiapan dan jumlah tenaga (jentera) yang kita ada, kita yakin boleh mendapat sokongan daripada pengundi dengan jumlah yang jauh lebih besar.

"Saya percaya dengan perancangan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilancarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menjadi roadmap atau pelan utama untuk menjadi Selangor sebagai negeri yang maju, sejahtera dan memberi kebajikan kepada rakyat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Zawawi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 2018 dengan majoriti 5,842 undi.

Kemenangan tersebut sekali gus menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram