SESI penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) 49 Sungai Kandis di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam diserikan dengan kehadiran Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyokong calon gabungan PH dan BN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Tengku Zafrul dilihat hadir ke kawasan penamaan calon gabungan tersebut sekitar pukul 9.20 pagi untuk memberi sokongan kepada Mohd Zawawi.
Beliau memaklumkan akan turut membantu calon-calon parti gabungan tersebut di lima negeri lain yang terlibat dalam PRN kali ini.
"Esok (Ahad) saya akan ke Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan ke negeri-negeri lain.
"Insya-ALLAH, Selangor mesti pertahankan kerusi-kerusi kita terutamanya Kerajaan Perpaduan," katanya ditemui media selepas penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor untuk DUN N49 Sungai Kandis di sekitar Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam, Selangor pada Sabtu.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut berharap agar ahli-ahli BN dan Umno di peringkat akar umbi untuk keluar mengundi calon-calon gabungan tersebut pada 12 Ogos nanti.
Sementara itu, Mohamad turut dilihat berarak bersama Mohd Zawawi serta penyokong gabungan tersebut kira-kira pukul 8.50 pagi menuju ke Dewan Orang Ramai MBSA Kampung Bukit Naga, Shah Alam.
"Suasana meriah, selamat, berjalan seperti biasa," katanya.
PRN di DUN N49 Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan PH dan BN yang diwakili oleh penyandang kerusi tersebut, Mohd Zawawi; parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff dan Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Wan Dzahanurin Ahmad.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram