[VIDEO] Bomba terpaksa guna alat khas tangkap ular senduk susur bawah budak


  • Tular
  • Rabu, 26 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan kanak-kanak lelaki 'terbaring' di atas seekor ular di rumah pengasuhnya baru-baru ini.

VIDEO memaparkan keadaan seorang kanak-kanak lelaki masih mampu bertenang meskipun dia 'terbaring' di atas seekor ular dipercayai spesis ular senduk yang berbisa tular di media sosial.

Kejadian itu dikongsikan di laman TikTok MiaZaraa pada Isnin, sebelum tular dalam kalangan pengguna media sosial.

Difahamkan insiden mendebarkan itu berlaku di rumah pengasuh kanak-kanak berkenaan.

Menerusi rakaman berdurasi 19 saat itu, meskipun reptilia tersebut dilihat menyusur masuk ke bawah badan budak lelaki berkenaan, dia hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.

Menerusi ruangan komen di video itu, seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut dengan nama Yana, memaklumkan anaknya berada dalam keadaan selamat selepas kejadian berkenaan.

“Salam, ni anak saya. Alhamdulillah anak saya selamat dan ini bukan ular mainan ya, ular senduk, amat berbisa tapi ALLAH jaga anak saya,” kongsinya.

Berdasarkan komen orang ramai juga, ada yang mengatakan bahawa kanak-kanak itu merupakan seorang yang sangat aktif, namun semasa kejadian, dia tiba-tiba menjadi kaku dan langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan yang boleh membahayakan nyawanya.

"Alhamdulillah anak dia selamat, bomba datang. Ini dekat rumah pengasuh, kuasa ALLAH anak dia jadi kaku tak gerak sebab mak dia cakap anak dia sangat aktif," tulis Afreena Aulia.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, video tular yang memaparkan anak ular senduk menyusur di bawah badan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, adalah kejadian dua hari lepas dan ular itu telah berjaya ditangkap.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut juga dilaporkan selamat.

"Kejadian berlaku di rumah pengasuh kanak-kanak itu di Taman Serai Perdana, Bagan Serai (Perak). Bomba menerima panggilan daripada pengasuh pada 11.28 pagi, 24 Julai lalu.

"Setibanya di tempat kejadian didapati seekor anak ular senduk berada di bawah kanak-kanak di ruang tamu. Tindakan segera anggota bomba memastikan keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sabarodzi berkata, anggota telah menggunakan penyepit ular untuk menangkap ular senduk tersebut dan berjaya ditangkap serta dibawa ke lokasi yang sesuai dan dilepaskan,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram