MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal bermula 12 Ogos depan, masyarakat sudah tampil dengan gerakan serta ideologi tersendiri bagi menyuarakan sokongan terhadap pilihan parti masing-masing.
Perkara itu boleh digambarkan menerusi situasi yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan, pada Isnin apabila beberapa penduduk di kawasan tersebut bertindak menurunkan bendera PAS di tempat berkenaan.
Dipercayai merupakan penyokong parti tersebut, kelakuan itu dikatakan berpunca akibat ketiadaan nama penyandang kerusi kawasan terbabit, Datuk Mohamad Awang atau Ustaz Mad yang dilaporkan tidak tercalon pada PRN kali ini.
Tindakan itu difahamkan merupakan sebagai salah satu tanda protes selepas tokoh berkenaan dikatakan bakal diganti oleh calon yang berada di luar Kelantan.
Difahamkan, calon yang bakal menggantikan Ustaz Mad tidak dikenali oleh penduduk setempat malah individu itu juga didakwa sudah tewas dua kali dalam pilihan raya sebelum ini dan bertanding di luar Kelantan.
Merupakan pemimpin yang cukup disegani dalam kalangan anak muda, ketiadaan Mohamad Awang pada PRN kali ini nyata mengundang kemarahan sebilangan penduduk di kawasan terbabit yang kecewa dengan perkara itu.
Tanpa kelibat individu berpengaruh itu, situasi itu dijangka akan menggugat peluang PAS untuk menyapu bersih 45 kawasan DUN Kelantan pada PRN nanti.
Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung perkara tersebut dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram