Salahuddin Ayub alami pendarahan otak, jalani pembedahan di hospital Alor Setar


  • Primer
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Salahuddin Ayub dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Beliau kini difahamkan sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Terdahulu, beliau dikejarkan ke hospital selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Menteri, Nur Syakirin Husnal dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, Salahuddin telah dikejarkan ke hospital pada pukul 10.15 malam Jumaat.

"Beliau terdahulu mengadu mengalami mual dan muntah-muntah dan tidak dapat menyertai program seperti yang dijadualkan Jumaat malam," katanya.

Terbaharu, Salahuddin dilaporkan selamat menjalani pembedahan tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau telah dimaklumkan oleh pengawal pengiring Salahuddin bahawa Timbalan Presiden Amanah itu telah dikeluarkan dari dewan bedah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan seterusnya.

"Menteri telah selamat menjalani pembedahan pagi Sabtu. Beliau dimasukkan ke bilik pembedahan sekitar pukul 3.30 pagi dari wad kecemasan.

"Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung, tapi saya dimaklumkan pembedahan berjaya oleh pengawal pengiring beliau sekitar pukul 8 pagi," katanya.

Mahfuz berkata, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB, kira-kira 10 malam tadi selepas mengadu berasa tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya.

"Beliau sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak hadir selepas berasa tidak sihat dan kemudian dikejarkan ke wad kecemasan. Program beliau juga agak padat spada Jumaat, mungkin beliau juga keletihan," katanya.

Pada Jumaat, Salahuddin menghadiri beberapa program di Kedah antaranya Majlis Perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi Borong Edar serta Majlis Perasmian Jelajah Jualan Rahmah Kedah dan Jelajah Townhall bersama Mahasiswa Universiti Utara Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram