[VIDEO] Cuba mendarat tengah padang, helikopter pengiring Presiden Jokowi tak pasal-pasal runtuhkan tembok stadium


  • Benua
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Tangkap layar helikopter yang membawa Presiden Jokowi Widodo mendarat di padang stadium bola dekat Bengkulu, Indonesia.

KENDERAAN helikopter yang membawa Presiden Jokowi Widodo dilaporkan telah mengakibatkan tembok stadium di Bengkulu, Indonesia roboh pada Selasa.

Menurut laporan media, helikopter tersebut digunakan semasa lawatan kerja Jokowi ke daerah Kepahiang, wilayah Bengkulu oleh Jokowi dan pasukannya.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan helikopter jenis Super Puma AS-332L2 itu terlebih dahulu melakukan pendaratan sebelum tembok di sekeliling stadium tersebut runtuh secara tiba-tiba.

Rakaman itu menjadi bualan hangat di laman media susulan ia dikaitkan dengan kedatangan Presiden Jokowi ke kawasan terbabit.

Pada masa sama, ramai warganet Indonesia mempertikaikan kualiti binaan stadium berkenaan.

Mengulas lanjut tentang hal itu, Timbalan Protokol Akhbar dan Media di Sekretariat, Presiden Bey Machmudin berkata, helikopter tersebut sedang menjalankan ujian pendaratan ketika kejadian.

"Ujian itu dilakukan sebagai persiapan Presiden menggunakan helikopter dalam kunjungan kerjanya ke daerah Kepahiang, wilayah Bengkulu, Indonesia.

"Tuan Yang Dipertua telah mengarahkan wakil menteri segera melakukan proses pembaikan. Walaupun begitu, pendaratan yang dilakukan telah mengikut piawaian dengan ia berada dalam jarak selamat antara 50 hingga 70 meter dari bangunan berhampiran," katanya.

Ketua Dinas Pelancongan, Belia dan Sukan Daerah Kepahiang, Teddy Adeba, menjelaskan pihaknya telah berhubung dengan perkhidmatan Pelancongan Wilayah Bengkulu, berhubung tembok stadium bola mini di Kampung Padang Lekat, daerah Kepahiang yang roboh tersebut.

Teddy turut menjelaskan, status stadium bola sepak mini itu belum diberikan kepada Pemerintah Kepahiang, kerana ketika ini fail geran masih dalam proses.

"Saya sudah menghubungi Pejabat Pelancongan Wilayah, tetapi masih menunggu arahan selanjutnya, mungkin mereka masih sibuk dengan aktiviti lawatan presiden," ujarnya.

Untuk rekod, stadium bola sepak itu baru sahaja dibina pada 2022 dengan anggaran kos lebih kurang lebih 7 juta rupiah (RM212,000). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram