PENGANJUR 'Good Vibes Festival 2023' diarahkan untuk memberi penjelasan susulan tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur pada Jumaat malam.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam perkongsian di Twitter turut memaklumkan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan laporan penuh insiden itu.
"Ini satu tindakan yang sangat biadab. Saya telah panggil penganjur untuk beri penjelasan pada Ahad dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh,” katanya.
Terbaharu, Fahmi Fadzil di laman Twitter pada Sabtu difahamkan telah memanggil pihak penganjur festival terbabit berhubung isu berkenaan.
"Saya telah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari UK "The 1975" di Sepang, Selangor pada Jumaat malam.
"Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas iaitu tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
"Justeru, saya telah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung Sabtu sehingga Ahad, 23 Julai.
"Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket," ciapnya di Twitter.
Jelasnya, kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara namun jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan.
Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), selain mencium seorang lelaki dipercayai peminat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram