SEORANG wanita yang merupakan isteri Duta Besar China dilaporkan terlibat dalam satu insiden pergaduhan di Pakistan pada Jumaat.
Individu terbabit didakwa memukul bekas pembantu rumahnya di sebuah jalan raya sambil disaksikan orang ramai.
Pergaduhan itu walau bagaimanapun tidak dihentikan mana-mana pihak dengan situasi tersebut dibiarkan berlanjutan sekali gus mengundang kecederaan terhadap mangsa.
Rakaman berdurasi 20 saat itu hangat diperkatakan di laman media dan tular dalam kalangan warganet.
Dalam pada itu, video tersebut juga dikatakan telah tersebar meluas di Pakistan dan mendapat maklum balas daripada pihak kerajaan negara terbabit.
Kerajaan Pakistan kini difahamkan sedang menyiasat perkara itu dan pembantu rumah berkenaan sedang mendapatkan rawatan perubatan di hospital.
Meskipun mangsa merupakan warganegara Pakistan, namun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap isteri duta China berkenaan.
Kerajaan China akan menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika si pelaku terbukti bersalah.
Insiden terbabit secara tidak langsung telah mencetuskan isu keganasan terhadap pekerja Pakistan dengan kajian menunjukkan, rata-rata golongan terbabit mengalami penderaan di tangan majikan mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram