Budak lagak gengster lastik kereta, baring tengah jalan


  • Tular
  • Isnin, 18 Apr 2022

Tangkap layar rakaman video tular sekumpulan remaja mengganggu ketenteraman awam dalam kejadian dipercayai di Taman Bukit Anggerik, Kuala Lumpur.

TULAR di media sosial rakaman tiga video berasingan menunjukkan kelakuan sekumpulan anak muda mengganggu ketenteraman awam dengan berbaring di jalan raya pada waktu malam, membuat kecoh di premis awam dan melastik kereta yang lalu-lalang.

Tiga video yang tular itu turut disertai satu mesej mengatakan kejadian dipercayai berlaku di Taman Bukit Anggerik, Kuala Lumpur.

Menurut mesej itu lagi, video pertama yang dikongsikan menunjukkan segelintir remaja sedang bersembunyi di bahu jalan sebelum melastik kereta yang sedang melalui jalan berkenaan.

Rakaman tular sekumpulan remaja melastik kenderaan yang lalu-lalang.

Video kedua pula menunjukkan salah seorang daripadanya sedang membuat kecoh di sebuah premis awam dipercayai kedai makanan.

Menerusi rakaman kedua yang berdurasi 30 saat itu, mereka kelihatan sedang menyepahkan barang-barang di kedai terbabit selain mengeluarkan kata-kata kesat.

Turut kelihatan, seorang budak berbaju merah dan berkaca mata hitam dengan lagak seperti orang dewasa menendang dan memukul sebuah objek di premis berkenaan.

Rakaman tular sekumpulan remaja menyepahkan sebuah premis kedai.

Dia turut menunjukkan isyarat jari tengah kepada perakam video tersebut yang dipercayai rakan subahatnya.

Dalam video ketiga pula, mereka kelihatan berbaring di garisan putus-putus di tengah-tengah jalan raya sambil ketawa.

Apabila sebuah kereta melalui kawasan itu, mereka kelihatan masih berbaring seolah-olah tidak kisah dengan bahaya yang akan mendatang.

Kemudian salah seorang daripada remaja berkenaan menggolekkan badannya di atas jalan selepas kenderaan itu melepasi mereka.

Rakaman tular sekumpulan remaja berbaring di tengah-tengah jalan.

Kapsyen video itu menyebut, menurut sumber, aktiviti tidak bermoral itu bertempat di kawasan Anggerik, Kuala Lumpur.

"Perbuatan budak-budak itu disifatkan mengganggu ketenteraman orang awam dan telah mengundang kemarahan netizen.

"Kalau kita nakal sesama sendiri tak kisahlah, tetapi ini sudah sampai mengancam keselamatan dan menganggu ketenteraman awam itu sudah dikira melampau, mohon ambil tindakan Polis Diraja Malaysia," kata kapsyen itu.

Majoriti sedang menunggu maklum balas daripada polis berhubung kejadian tular berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram