[VIDEO] Panjat pagar ala Spiderman, lelaki mirip 'bhaiya' kantoi pecah masuk rumah ikut tingkap di Kluang


  • Tular
  • Ahad, 23 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang warga asing menceroboh sebuah rumah di Taman Aman, Kluang pada Jumaat lalu.

SEORANG lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah masuk rumah di kawasan perumahan di Taman Aman, Kluang, Johor pada Jumaat lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 2 pagi itu berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dan dikongsikan di laman Facebook Kluang Viral pada Sabtu.

Menerusi video berdurasi satu minit sembilan saat itu, suspek dilihat beraksi ala-ala 'Spiderman' dengan memanjat pagar sebuah rumah.

Setelah memerhati keadaan sekeliling, dia kemudian bertindak memanjat tembok untuk ke rumah sebelah dan dia disyaki telah memecah masuk melalui tingkap di kediaman berkenaan.

Berdasarkan makluman orang awam, individu itu juga dipercayai berada di bawah pengaruh dadah semasa melakukan kegiatan tersebut.

Difahamkan meskipun sistem penggera sudah berbunyi, lelaki yang tidak menutup mukanya itu masih berani untuk menceroboh rumah itu.

Tangkap layar keadaan sebuah rumah yang dipercayai menjadi mangsa pencerobohan lelaki berkenaan.

Sementara itu, polis dilaporkan menahan seorang lelaki yang mempunyai 15 rekod jenayah kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di sebuah kediaman di Taman Aman, Kluang Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki tempatan berumur 30-an itu ditahan di sekitar Kluang kira-kira pukul 3.30 petang pada Sabtu.

Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian pecah rumah itu pada 6.42 pagi, Jumaat dan siasatan mendapati ketika kejadian, rumah berkenaan tiada penghuni dan hanya disedari pengadu selepas penggera di telefon bimbitnya berbunyi.

"Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki telah memanjat masuk ke dalam rumah melalui pagar di depan rumah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik serta didapati positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian air kencing.

"Kejadian itu tidak melibatkan kehilangan wang atau barang berharga.

"Lelaki berkenaan kini ditahan reman selama lima hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram