SEPANDAI-PANDAI tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan dalam satu kejadian seorang lelaki dipercayai warga asing ditangkap ketika cuba memecah masuk sebuah rumah baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di halaman Facebook 吴明 memaparkan suspek berjaya ditangkap selepas dia terjatuh dari siling tandas rumah tersebut.
Difahamkan, video kejadian yang dipercayai berlaku pada Sabtu lalu itu dirakam oleh pemilik rumah tersebut.
Dalam video berdurasi 37 saat itu, kelihatan suspek terbaring di satu sudut lantai dan diikat tangannya.
Difahamkan, suspek ditangkap oleh pemilik rumah tersebut dan videonya dirakam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Namun begitu tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Dalam video tersebut, kedengaran suara perakam sempat menasihati suspek.
"Kau pecah rumah orang, kau jatuh dan kau sendiri yang kesakitan.
"Kau tengok macam mana kau boleh jatuh? Kau ada kaki, ada tangan pergi kerja. Kenapa tak nak kerja dan mencuri?
"Mencuri selepas itu menyusahkan orang," katanya.
Video yang dimuat naik itu juga meraih perhatian warga maya kerana tindakan pemilik rumah tersebut yang masih bersikap 'lembut' terhadap suspek.
"Rohingya kalau kantoi mencuri, dia punya drama memang kalah Yusof Haslam. Nasib bos baik tak pukul terus hantar ke balai," kata Mohd Halim Ismail.
Seorang lagi pengguna Facebook, Wan Cobain memuji tindakan pemilik rumah tersebut yang tidak memukul suspek.
"Terbaik, santai sahaja dan tak ambil undang-undang sendiri. Ikat dan terus serah kepada pihak polis. Bagi dia merasa duduk dalam penjara," katanya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram