SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila didatangi lelaki warga asing yang memanjat keretanya ketika memandu di bulatan Kampung Pandan, menghala ke Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Isnin.
Difahamkan, individu terbabit terlebih dahulu menahan kereta si pemandu sebelum bertindak memanjat dan berguling atas kenderaannya.
Mendakwa dirinya dilanggar, pemandu wanita terbabit kemudiannya mengundurkan keretanya sambil menjerit dan menangis akibat ketakutan.
Turut meluahkan kekecewaannya susulan tiada bantuan diberikan mana-mana pihak, rakaman berdurasi satu minit 16 saat itu dimuat naik di laman Instagram dan meraih lebih 18,000 jumlah tontonan setakat ini.
Dalam pada itu, kelakuan individu terbabit kemudiannya dihentikan oleh seorang penunggang basikal lelaki yang bertindak membantu situasi terbabit.
Si pelaku diheret ke bahu jalan oleh lelaki terbabit dan wanita berkenaan terus beredar dari lokasi itu sebaik diselamatkan daripada gangguan tersebut.
Mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada hari kejadian, namun masih belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian itu setakat ini.
Dalam pada itu, seorang lelaki dikenali sebagai @deanamirhussain di Twitter, turut berkongsi pengalaman apabila pernah melalu situasi sama.
Menurutnya, dia dan sekeluarga pernah diserang warga asing terbabit yang dikatakan sengaja ingin dilanggar dan meminta duit sebagai bayaran ganti rugi.
Mendakwa ia sebagai salah satu taktik untuk meminta sedekah, dia menggesa orang ramai agar sentiasa berhati-hati sekiranya memandu di laluan sekitar Kampung Pandan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram