Guru ponteng kelas, 3 pelajar menang saman dapat ganti rugi RM50,000


Tiga pelajar menang saman ke atas seorang guru yang didakwa ponteng kelas selama tujuh bulan.

TIGA pelajar yang memfailkan saman terhadap bekas guru bahasa Inggeris mereka di daerah Kota Belud utara Sabah kerana tidak hadir kelas selama tujuh bulan telah memenangi kes mereka di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.

Hakim Leonard David Shim turut memerintahkan pelajar terbabit diberikan pampasan RM50,000 setiap seorang akibat trauma yang dialami mereka.

Menurut Shim, keputusan itu dibuat selepas tiga pelajar terbabit dinafikan hak perlembagaan masing-masing untuk mengakses pendidikan oleh lima defendan.

Selain Mohd Jainal Jamran sebagai guru Bahasa Inggeris di SMK Taun Gusi; turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas pengetua sekolah itu, Suid Hanapi; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia, dan kerajaan Malaysia.

Shim juga memutuskan lima defendan melanggar kewajipan berkanun mereka mengikut Akta Pendidikan 1966 dengan gagal menyediakan ketiga-tiga pelajar itu untuk menghadapi peperiksaan.

Hakim itu turut mengisytiharkan defendan kedua isitu Suid telah melanggar kewajipannya mengikut Peraturan 3C, 25 dan 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sehubungan itu, mahkamah menganugerahkan RM50,000 kepada setiap tiga pelajar terbabit dan ia akan ditanggung secara bersama dan berasingan oleh semua defendan.

Daripada jumlah itu, RM30,000 diberikan sebagai ganti rugi nominal atas kehilangan peluang yang dialami tiga pelajar berkenaan.

“Tidak dinafikan bahawa Bahasa Inggeris adalah mata pelajaran teras untuk Sijil Pelajaran Malaysia dan untuk kemasukan ke mana-mana peringkat pendidikan atau universiti yang lebih tinggi.

“Daripada keterangan yang ada, mahkamah mendapati bahawa pemberian ganti rugi nominal diberikan kepada setiap plaintif berjumlah RM30,000 kerana kehilangan peluang memperoleh gred yang baik dalam Bahasa Inggeris dan kehilangan peluang yang baik dalam hidup mereka untuk menerima yang lebih baik pendidikan pada masa hadapan," kata hakim.

Baki RM20,000 pula dianugerahkan sebagai ganti rugi akibat trauma emosi dan/atau psikologi akibat kesan dan penghinaan akibat ketidakhadiran guru.

Menurut Shim, tiada perintah dibuat mengenai kos kerana perkara itu melibatkan soal hak asasi perlembagaan untuk pendidikan dan perkara kepentingan awam.

Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung memula tindakan undang-undang ke atas defendan dengan memfailkan saman mereka pada Disember 2020.

Mereka mendakwa Mohd Jainal tidak hadir, datang lewat, dan keluar awal dari kelas selama tujuh bulan iaitu antara Mac hingga Oktober 2017.

Mohd Jainal juga menjadi subjek saman serupa yang difailkan oleh Siti Nafirah Siman berhubung perkara serupa. Saman itu masih dibicarakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram