Wajib ada pentauliahan ajar agama, ceramah di Perak — JAIPk


  • Primer
  • Ahad, 14 Mei 2023

Mana-mana individu termasuk tokoh agama dan penceramah yang ingin menyampai serta mengajar ilmu agama Islam perlu mendapatkan pentauliahan dariapda JAIPk.

MANA-MANA individu yang mahu mengajar agama di masjid dan surau di Perak masih perlu mendapatkan pentauliahan selain penceramah juga wajib memperoleh kelulusan berceramah daripada pejabat agama daerah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, individu berkenaan perlu akur kepada peraturan yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selaku pembuat dasar kepada agensi agama di negeri tersebut

"Perak tetap dengan keputusan, kalau nak berceramah di dalam negeri ini dia ada dua keadaan. Satu, mengajar di masjid atau surau dia perlu tauliah, tetapi kalau nak berceramah dia perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada pegawai tadbir agama daerah berkenaan.

"Bermakna kalau dia dapat kelulusan daripada pejabat agama daerah, ikut prosedur dia bolehlah ceramah. Maksudnya kalau dia penceramah terkenal pun dia tetap kena (dapatkan kelulusan pejabat agama daerah),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 JAIPk bersama Persatuan Cina Muslim Ipoh pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Perak akan mengikut langkah Pahang yang memberi pengecualian tauliah mengajar agama Islam di negeri itu kepada beberapa tokoh agama dan pendakwah.

Pada 9 Mei lalu, media melaporkan 13 tokoh agama dan pendakwah diberikan pengecualian tauliah mengajar agama Islam di Pahang.

Menurut sepucuk surat pekeliling ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Ahmad Hairi Hussain kesemua yang diberi pengecualian tidak perlu memohon Perakuan Kebenaran Mengajar Agama Islam untuk mengajar agama atau berceramah di negeri itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram