AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman difahamkan sudah membuat satu laporan polis terhadap seorang individu pempengaruh di TikTok yang dikatakan menghina dan memuat kenyataan berbaur seksis terhadap beliau.
Ia susulan video berdurasi satu minit 35 saat yang dimuat naik individu pempengaruh tersebut baru-baru ini yang mempertikaikan pemakaian serta kredibiliti pemimpin itu ketika menghadiri sebuah program Pentas Anak Muda Madani di Pulau Pinang Jumaat lalu.
Young Shefura atau lebih mesra dikenali sebagai Rara, hadir ke acara tersebut bagi membincangkan topik permasalahan serta usaha kerajaan Perpaduan untuk membaik pulih negara.
Namun, ketika mengulas lanjut soal Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor yang didakwa menghina institusi diraja Selangor baru-baru ini, perkara itu mendapat tentangan pempengaruh berkenaan yang nyata tampil dengan ayat kurang disenangi.
Susulan itu, Noor Suhana Ishak, yang merupakan pembantu timbalan ketua Pemuda DAP di laman Twitter berkata, tingkah laku seksis seperti itu tidak boleh dibiarkan.
"Sebagai seorang influencer, dia harus menggunakan platformnya untuk mempromosikan kebaikan.
"Dia harus bijak dalam pertimbangan dan pemikirannya dan bukan hanya mengejar pengaruh, yang telah mendedahkan kedangkalannya.
"Kita sentiasa boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi ia mesti berdasarkan fakta. Bagaimanapun, pengaruh ini menggunakan pendekatan 'kotor' dengan menggunakan bahasa seksis, memalukan dan kesat," katanya.
Dalam pada itu, Rara juga dikatakan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram