Hina institusi diraja, Sultan Selangor anggap isu Sanusi belum selesai


  • Primer
  • Isnin, 17 Jul 2023

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menganggap kenyataan Sanusi yang didakwa menghina institusi diraja sebelum ini masih belum selesai. — Awani

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah perkara berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dianggap menghina Institusi Diraja Selangor, masih belum selesai.

Titah baginda itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office pada Isnin.

Hantaran Facebook Selangor Royal Office itu turut menyebut Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.

Pertemuan secara berasingan itu membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah itu dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina Institusi Diraja Selangor.

Sabtu lepas, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan ampun kepada Sultan Sharafuddin berhubung kenyataan yang dianggap ramai umpama mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar.

Sebelum itu Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular, membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram