[VIDEO] "Mujur ada helmet', pemandu Myvi dicari lepas langgar lari rider di Kota Bharu


  • Tular
  • Ahad, 16 Jul 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan seorang lelaki dipercayai dilanggar lari sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada Khamis.

SEORANG lelaki mengalami kecederaan parah setelah motosikal yang ditungganginya dipercayai dilanggar lari sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada Khamis.

Kejadian yang berlaku di Jalan Yaakubiah menghala ke Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan sekitar pukul 7.17 pagi itu dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dikongsikan di laman Twitter pada Ahad.

Meskipun tidak berjaya merakam situasi sebenar kejadian, rakaman itu menunjukkan lelaki terbabit dipercayai terseret agak jauh setelah dilanggar oleh kenderaan tersebut.

Menurut info yang dikongsikan ahli keluarga mangsa menerusi komen di media sosial, mangsa mengalami kecederaan yang teruk di bahagian muka, tangan, badan dan kaki disebabkan kemalangan tersebut.

"Helmet dia yang selamatkan kepala dia walaupun pecah sebab tercampak atas jalan.

"Nasib baik tidak ada kereta lain dari arah bertentangan, kalau tidak mungkin tidak boleh diselamatkan," katanya.

Difahamkan ahli keluarga mangsa memohon agar mana-mana saksi atau sesiapa yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) semasa kejadian untuk tampil membantu siasatan.

"Mohon kongsikan rakaman untuk kenal pasti nombor plat kereta MyVi warna kelabu yg merempuh penunggang motosikal dari arah belakang dan lari sejurus kejadian.

"Rakaman CCTV dari kedai berhampiran tidak nampak nombor plat kereta tersebut," ciapnya di Twitter.

Tiada kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram