[VIDEO] Kes langgar lari, penunggang wanita terbaring, berlumuran darah di Lebuhraya DASH


  • Tular
  • Selasa, 27 Jun 2023

Tangkap layar insiden kemalangan dipercayai kes langgar lari berlaku di Lebuhraya DASH.

SEORANG penunggang motosikal wanita mengalami kecederaan parah apabila dilihat pengsan di tengah Lebuhraya Damansara - Shah Alam (DASH) dalam keadaan berlumuran darah pada Isnin.

Situasi itu dipercayai berpunca akibat kes langgar lari selepas wanita terbabit dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala dengan laluan berkenaan juga turut mempunyai kesan darah akibat kecederaan mangsa.

Dikongsikan di laman Twitter, insiden terbabit hangat diperkatakan dan rata-ratanya menggesa agar waris ataupun keluarga si mangsa tampil ke balai untuk membuat laporan.

“Berlaku di lebuh raya DASH, ada sesiapa kenal tak motosikal ini, kes langgar lari dan baru berlaku,” ciap laman Twitter tersebut.

Tiada rakaman kamera dashcam diperoleh setakat ini dan status wanita berkenaan juga tidak dapat dipastikan dengan pihak polis juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemalangan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram